comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerugian bersih MAHB susut kepada RM9.04 juta pada suku ketiga 

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)

KUALA LUMPUR: Kerugian bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk suku ketiga berakhir 30 September 2022 menurun dengan ketara kepada RM9.04 juta berbanding RM182.32 juta disebabkan lonjakan jumlah penumpang yang meningkatkan pendapatan dengan ketara.

Hasil melonjak 87.2 peratus kepada RM863.61 juta daripada RM461.33 juta dalam persekitaran trafik yang kukuh berikutan pelonggaran protokol perjalanan, tempoh cuti musim panas dan sekolah, musim haji, serta penyambungan semula perkhidmatan dan operasi syarikat penerbangan, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Secara keseluruhan, operasi Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam hasil sebanyak 212.2 peratus daripada RM151.3 juta kepada RM472.4 juta, manakala hasil daripada operasi Türkiye dan Qatar meningkat sebanyak 27.1 peratus daripada RM287.9 ​​juta kepada RM365.8 juta dan 14.9 peratus daripada RM22.1 juta kepada RM25.4 juta.

MAHB berkata hasil daripada operasi lapangan terbang melonjak sebanyak 96.5 peratus kepada RM799.3 juta, manakala pendapatan segmen aeronautik meningkat daripada RM233.4 juta kepada RM449.8 juta disokong jumlah trafik penumpang sebanyak 24 juta penumpang berbanding 9.9 juta penumpang dalam suku yang sama pada tahun sebelumnya.

Trafik penumpang operasi Malaysia meningkat dengan ketara kepada 14.9 juta daripada 1.0 juta penumpang sebelum ini, manakala operasi Türkiye terus menunjukkan pemulihan dalam trafik penumpang daripada 8.9 juta kepada 9.1 juta penumpang dalam tempoh yang sama.

Hasil segmen bukan aeronautik meningkat daripada RM173.3 juta kepada RM349.5 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh sumbangan lebih baik hasil komersial daripada operasi Malaysia dan Türkiye.

Sementara itu, hasil daripada operasi bukan lapangan terbang meningkat 17.8 peratus daripada RM54.6 juta kepada RM64.3 juta disebabkan hasil yang lebih tinggi daripada perniagaan penyelenggaraan projek dan pembaikan serta hotel.

Pergerakan keseluruhan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen juga terus mencatatkan pertumbuhan kerana ia merekodkan bahagian yang lebih besar daripada campuran penumpang antarabangsa dan domestik pada September 2022.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) meramalkan trafik global 2022 akan mencapai 82.4 peratus daripada tahap sebelum COVID.

“Prospek bagi industri penerbangan negara bertambah baik dari hari ke hari kerana pemain industri bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan Malaysia menerima kira-kira 10 juta pelancong antarabangsa menjelang akhir tahun,” kata MAHB. – BERNAMA

Loading...
Terkini