comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ketirisan diesel berkurangan susulan penyasaran subsidi

Foto hiasan

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Isu ketirisan diesel mula berkurangan, walaupun hanya seminggu penyasaran subsidi bahan api itu dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican memberitahu BuletinTV3, penurunan ketara dalam jualan runcit diesel dan peningkatan jualan diesel komersial menunjukkan penyelewengan bahan api bersubsidi itu dibendung dengan berkesan.

Isu ketirisan diesel ditangani dengan memastikan jualan bahan api itu di stesen minyak berdasarkan harga pasaran.

Datuk Johan Mahmood Merican pada wawancara eksklusif bersama Buletin TV3 di Simposium Sasana 2024 Bank Negara Malaysia.

“Jika kita hendak menangani ketirisan, kita seharusnya mengurangkan jurang perbezaan antara harga di stesen minyak dengan harga pasaran. Dengan itu, kerajaan mengambil langkah kalau dibuat 10 sen, 10sen, ia masih akan ada perbezaan ketara antara harga di stesen minyak dan harga pasaran,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama BuletinTV3 di Simposium Sasana 2024 Bank Negara Malaysia.

Sebelum ini, industri pembinaan dan perkilangan perlu membeli diesel pada harga komersial tanpa subsidi. Namun banyak syarikat dipercayai membeli bahan api itu pada harga lebih rendah daripada sindiket.

Penyeludupan dan penyelewengan diesel subsidi menyebabkan jualan komersial menyusut daripada 4.8 bilion liter pada 2019 kepada 2.8 bilion liter tahun lalu.

Ia juga antara punca jumlah diesel bersubsidi meningkat kepada 10.8 bilion liter pada 2023, daripada 6.1 bilion liter pada 2019, walaupun tiada penambahan ketara jumlah kenderaan.

“Kita mesti memahami apakah sebab subsidi diesel perlu dikaji semula. Antara sebab tahap subsidi tidak dapat dibiayai secara berterusan. Ini mengambil kira pada tahun 2019, subsidi diesel hanya RM1.4 bilion, tetapi 2023 telah meningkat 10 kali ganda kepada RM14 bilion,” jelas beliau.

Tambah beliau, isu ketirisan sebelum ini makin serius akibat perbezaan besar harga runcit diesel Malaysia pada RM2.15 berbanding sekitar RM4 satu liter di Singapura, Thailand dan Indonesia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini