comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Keuntungan bersih PDB melonjak lebih 100 peratus

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) meneruskan prestasi kewangan kukuhnya apabila mencatat lonjakan lebih 100 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM399.1 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022.

Dalam satu kenyataan, PDB berkata, pendapatan pada suku dikaji juga melonjak ketara sebanyak 93 peratus kepada RM10.13 bilion, manakala hasil bagi tempoh sembilan bulan pertama menokok 75 peratus kepada RM27.3 bilion, dipacu jumlah jualan dan harga jualan purata yang lebih tinggi.

“Pemulihan kukuh dalam prestasi kewangan PDB adalah seiring dengan lonjakan aktiviti ekonomi berikutan peralihan berterusan Malaysia ke fasa endemik COVID-19 dan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan sosial.

“Sejajar dengan itu, segmen komersial PDB menyaksikan pertumbuhan keuntungan kasar yang lebih kukuh pada suku dikaji berikutan peningkatan jumlah jualan, didorong oleh lonjakan dalam perjalanan antarabangsa dan pertumbuhan dalam industri perkhidmatan, apabila sektor pelancongan terus mendapat momentum,” katanya.

Sementara itu, segmen runcit dan kemudahan turut mencatatkan keuntungan kasar yang lebih tinggi disumbangkan oleh pelonggaran sekatan COVID-19 semasa, fasa endemik, berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada suku sama tahun lalu.
PDB memperkenalkan produk baharunya dikenali Café Mesra pada Julai 2022 untuk melengkapkan lagi gaya hidup pelanggannya yang pelbagai.

Café Mesra kini boleh didapati di 16 lokasi dan PDB menyasarkan untuk memiliki sehingga 40 kedai di stesen PETRONAS dan cawangan kendiri di seluruh negara.

“Café Mesra adalah bukti komitmen berterusan
PDB dalam meningkatkan pengalaman pelanggan dan akan mempercepatkan lagi usaha progresif syarikat dalam mempelbagaikan portfolio bukan bahan apinya,” kata PDB.

Selain produk baharu, PDB juga akan memacu penyelesaian dan tawaran digital e-dagangnya bagi meningkatkan lagi pengalaman runcit pelanggan dari hujung ke hujung termasuk penawaran pelbagai jenis produk dan barangan tulen berjenama PETRONAS; dan ciri baharu dalam aplikasi Setel iaitu pengisian bahan api satu sentuhan dan perkhidmatan automotif atas permintaan untuk meningkatkan lagi pengalaman pemandu.

Antara lain, pengguna Setel kini boleh memperbaharui cukai jalan atau membeli insurans termasuk takaful terus daripada aplikasi dan diberi ganjaran mata Mesra.

Mengulas mengenai prestasi kewangan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, pencapaian yang lebih kukuh merentas semua segmen perniagaan itu adalah seiring dengan persekitaran ekonomi yang bertambah baik selepas pandemik COVID-19.

“Kami akan terus mengukuhkan perniagaan teras kami sejajar dengan pemulihan ekonomi negara sambil kekal berhati-hati terhadap halangan luar dan ketidaktentuan global, termasuk risiko kemelesetan global pada masa hadapan.

“Melangkah ke hadapan, PDB akan menggandakan usaha kami untuk mengembangkan aliran pendapatan kami daripada segmen produk bukan bahan api sambil kami terus membentuk laluan kemampanan,” katanya.

Menurut PDB, syarikat itu terus membentuk laluan kelestariannya dan mengembangkan penawaran secara strategik dalam penyelesaian tenaga yang lebih bersih untuk menyokong aspirasi pelepasan karbon sifar bersih PETRONAS.

“Setakat ini, kami telah memasang tujuh pengecas kenderaan elektrik (EV) arus terus dan panel solar di lapan stesen PETRONAS pada suku ketiga 2022 dan bersedia untuk meneroka aliran pendapatan baharu dalam segmen mobiliti elektrik,” katanya.

Loading...
Terkini