comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Keuntungan bersih suku ketiga MISC melonjak kepada RM820.6 juta

MISC Bhd

KUALA LUMPUR — MISC Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2022 yang melonjak kepada RM820.6 juta daripada RM401 juta bagi tempoh sama, setahun lepas.

Perolehan hasilnya turut meningkat 34.3 peratus kepada RM3.61 bilion berbanding RM2.69 bilion dalam suku sebelum ini.

“Hasil bagi penghantaran petroleum dan produknya yang diraih oleh MISC berjumlah RM1.27 bilion iaitu pertambahan sebanyak RM489.3 juta berbanding suku sebelumnya RM775.9 juta, terutama susulan peningkatan kadar pengangkutan bagi segmen kapal tangki bersaiz sederhana pada suku tersebut.

“Bagi perniagaan luar pesisir, hasilnya melonjak 49.4 peratus kepada RM1.12 bilion berbanding RM749.7 juta, disumbangkan oleh perolehan daripada penukaran kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan terapung (FSPO) susulan kemajuan projek yang diluluskan dalam suku ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Merujuk prospek, MISC berkata kadar pasaran penghantaran petroleum itu telah mencatat peningkatan sejak suku sebelumnya dengan purata kapal tangki itu terus mengukuh, didorong oleh pemulihan pengeluaran minyak, pemulihan impak COVID-19 yang berterusan serta peralihan kepada aliran dagangan jarak jauh berikutan krisis di Ukraine.

“Dalam persekitaran tidak menentu itu, segmen penghantaran petroleum dan produknya terbukti terus pulih dari segi pendapatan dan lembaran imbangan menerusi perniagaan kapal tangki serta penambahbaikan aset melalui bangunan baharu yang dijana dengan tenaga hijau.

“Harga minyak yang meningkat turut menggalakkan peningkatan perbelanjaan modal (capex) huluan global ketika ekonomi dunia terus pulih walaupun terdapat impak inflasi serta gangguan rantaian bekalan,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kapten Rajalingam Subramaniam berkata MISC terus memaparkan daya tahan serta mencatat prestasi kewangan suku ketiga walaupun dalam ketidaktentuan yang melanda industri.

“Berteraskan rekod dan keupayaan yang telah terbukti, kami kekal komited dalam melaksanakan projek-projek sedang dijalankan dengan disiplin serta fokus yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan kewangan syarikat yang memberangsangkan turut meletakkan MISC di landasan progresif bagi memberi nilai mampan kepada pihak berkepentingannya.

“Pada masa sama, kami akan terus mengemudi harapan bagi jangka pertengahan sehingga jangka panjang untuk meninjau peluang perniagaan baharu ke arah masa depan sifar bersih menerusi sinergi serta kerjasama lebih hebat dengan pihak berkepentingan dan rakan-rakan,” katanya.

BERNAMA

Loading...
Terkini