comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Keuntungan bersih Sunway Reit melonjak kepada RM323.56 juta 

Prestasi kewangan Sunway REIT disokong oleh sumbangan pendapatan terkini daripada sayap baharu seperti Sunway Carnival Mall dan penyambungan semula penyewaan daripada Sunway Resort Hotel.

KUALA LUMPUR: Firma pengurusan Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT), Sunway REIT Management Sdn Bhd telah menyaksikan keuntungan bersihnya melonjak kepada RM323.56 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 berbanding RM127.59 juta yang dicatatkan semasa tahun sebelumnya, selepas disokong oleh peningkatan sumbangan daripada semua segmen.

Perolehan untuk tahun kewangan 2022 bertambah kepada RM651.45 juta daripada RM472.35 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sunway REIT berkata prestasi kewangannya terus disokong oleh sumbangan pendapatan terkini daripada sayap baharu seperti Sunway Carnival Mall dan penyambungan semula penyewaan daripada Sunway Resort Hotel apabila hotel itu dibuka kembali secara berperingkat pada Mei tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management, Datuk Jeffrey Ng berkata prestasi kewangan pengurus itu menjelang tahun kewangan 2022 telah melepasi paras pra-pandemik tahun kewangan 2019.

“Hasil daripada prestasi kewangan dan aliran tunai yang bertambah baik, Sunway REIT telah meningkatkan pembayaran pengagihan pendapatannya kepada 100 peratus pada suku keempat 2022 dan berusaha untuk mengekalkan pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak 100 peratus menjelang tahun kewangan 2023,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2022, segmen runcit Sunway REIT mencatatkan kenaikan hasil kepada RM426.9 juta daripada RM269.5 juta, mewakili pertumbuhan sebanyak 58 peratus.

Pertumbuhan itu didorong oleh pengurangan ketara dalam rebat sewa, pusingan sewa yang lebih tinggi, promosi serta pendapatan tempat letak kereta apabila kedudukan runcit dan jualan runcit kembali normal.

“Segmen perhotelan telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang menggalakkan apabila aktiviti perniagaan serta riadah menokok sepanjang tahun dengan pendapatan dan perolehan hartanah bersih (NPI) masing-masing naik 62 peratus dari tahun ke tahun serta 83 peratus dari tahun ke tahun kepada RM63.3 juta dan RM59.4 juta,” katanya.

Sementara itu, segmen pejabat kekal stabil pada tahun kewangan 2022, dengan hasil bertambah 4.0 peratus dari tahun ke tahun kepada RM79.3 juta berbanding RM76.6 juta pada tahun sebelumnya, manakala NPI lebih tinggi pada RM51.8 juta.

Sunway REIT turut mengumumkan pengagihan pendapatan akhir sebanyak 5.00 sen seunit bagi tahun kewangan 2022.

Ng ketika mengulas mengenai prospek bagi tahun kewangan 2023 berkata Sunway REIT mengekalkan prospek positif, disokong oleh pertumbuhan ekonomi domestik yang stabil, momentum pertumbuhan yang mampan untuk segmen runcit, pemulihan selanjutnya dalam segmen hotel serta sumbangan pendapatan tahun penuh daripada Sunway Carnival Mall (sayap baharu) dan Sunway Resort Hotel.

“Walaupun inflasi telah menurun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kami tetap memantau dengan teliti trend inflasi dan kadar faedah.

“Kami berusaha untuk mengendalikan impak kenaikan kos faedah melalui strategi pengurusan modal yang dinamik selain berusaha bagi mencapai NPI yang lebih tinggi daripada portfolio aset sedia ada dan pengambilalihan baharu,” katanya.

Ng berkata Sunway REIT giat mengejar peluang pengambilalihan dan menjangka untuk membuat kemajuan dalam pengambilalihan pada tahun kewangan 2023.

“Penggearan Sunway REIT yang sihat sebanyak 37.6 peratus dan jumlah hutang kira-kira RM1.2 bilion akan membolehkannya membiayai pemerolehan hasil,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini