comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Keuntungan bersih UMW naik kepada RM134.46 juta pada suku pertama 2023

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih UMW Holdings Bhd meningkat kepada RM134.46 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 daripada RM101.21 juta pada suku yang sama tahun lalu dalam persekitaran jualan automotif yang lebih baik.

Hasil melonjak 20 peratus kepada RM4.38 bilion daripada RM3.65 bilion sebelumnya disebabkan oleh sumbangan lebih tinggi daripada semua segmen berteraskan momentum pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada suku semasa, kata konglomerat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Segmen automotif UMW mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 18.1 peratus tahun ke tahun kepada RM3.63 bilion kebayankannya disebabkan oleh bilangan kenderaan yang lebih tinggi dijual pada suku semasa.

“Seiring dengan hasil yang lebih tinggi, segmen itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBTZ) lebih tinggi sebanyak RM217.0 juta daripada RM205.8 juta pada suku yang sama,” katanya.

Hasil segmen peralatan kumpulan itu meningkat 17 peratus tahun ke tahun pada RM371.8 juta, kebanyakannya disebabkan oleh permintaan yang lebih kukuh daripada pasaran tempatan dan luar negara pada suku semasa.

Mengenai prospek, UMW berkata permintaan untuk segmen automotif dijangka berterusan sepanjang tahun disokong oleh pesanan tertunggak yang menggalakkan dan stabil sambil didorong oleh keperluan mobiliti yang lebih tinggi ketika ekonomi kini terus berkembang.

Pengumuman mengenai penangguhan pelaksanaan peraturan duti eksais baharu dijangka terus mengekalkan permintaan bagi segmen automotif, kata kumpulan itu.

“Ekoran cabaran berkaitan rantaian bekalan berkurangan, kumpulan itu terus meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi pesanan tertunggaknya.

“Segmen automotif dijangka kekal positif pada masa hadapan,” kata UMW.

BERNAMA

Loading...
Terkini