comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Keupayaan kerajaan pastikan kestabilan jadi keutamaan pelabur

Foto: Reuters

KUALA LUMPUR: Keabsahan kabinet sangat penting untuk dibuktikan kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menarik keyakinan dan kepercayaan komuniti perniagaan dan pelabur, demikian kata penganalisis.

Penganalisis RHB Research, Alexander Chia, berkata pelabur akan memerhati dengan rapat untuk memastikan sama ada kerajaan baharu dapat menawarkan kestabilan politik dan kesinambungan dasar.

Beliau berkata, kerajaan baharu mewakili pelbagai jenis lapisan masyarakat dan oleh itu, pendekatan sederhana akan dapat mengurangkan risiko kawal selia.

“Meskipun kami tidak dapat menolak kemungkinan mengenai risiko yang dapat menimpa kerajaan yang terus mengeluarkan janji populis, barisan kepimpinan baharu hendaklah faham bahawa keputusan yang sukar perlu dibuat demi kepentingan negara dalam jangka panjang.

“Kami juga percaya bahawa kepimpinan PH sudah belajar daripada kesilapannya ketika pemerintahan terdahulu selama 22 bulan di Putrajaya dari 2018 dan akan berjaga-jaga daripada mengulangi kesilapan yang sama,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Selain keabsahan kabinet, Chia berkata, perkara penting lain yang perlu dilakukan kerajaan ialah membentangkan Bajet 2023 secepat mungkin; mewujudkan dasar ekonomi kerajaan yang penting; melaksanakan reformasi fiskal dan ekonomi; inisiatif untuk merasionalkan subsidi dan langkah untuk menyatupadukan negara berikutan perpecahan politik yang berakar-umbi yang muncul selepas Pilihan Raya Umum yang Ke-15 (PRU15). — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini