comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

KLCC kekal popular walaupun disaingi The Exchange TRX

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Walaupun persaingan baharu daripada The Exchange TRX mungkin menyebabkan penurunan jangka pendek untuk pusat membeli-belah mewah berdekatan, namun Suria KLCC kekal kukuh.

Ia akan terus menarik minat orang ramai kerana tarikan ikonik Menara Berkembar Petronas, destinasi pelancongan yang popular ditambah pula dengan pengunjung pejabat tetap pada hari bekerja meletakkannya berada pada kedudukan yang baik untuk kejayaan jangka panjang.

Segmen hotel KLCCP Stapled Group (KLCCSS) dijangka mencatatkan pendapatan yang positif apabila momentum keyakinan ini disokong oleh tempahan penuh pusat konvensyen setahun lebih awal dan pandangan optimis terhadap sektor pelancongan selain disokong oleh Mandarin Oriental yang didiami 64 peratus pelancong antarabangsa.

Penganalisis Affin Hwang Investment Bank, Afifah Ishak, berkata, harga sasaran (TP) saham KLCCSS tidak berubah sebanyak RM7.60 di mana aspek positif syarikat termasuk sewa pejabat jangka panjang, tarikan Suria KLCC kepada pelancong dan momentum pendapatan positif daripada Mandarin Oriental.

“Kami percaya bahawa aset pejabat mungkin tidak begitu menarik kepada pelabur, memandangkan pasaran pejabat sudah tepu dalam daerah pusat perniagaan Kuala Lumpur serta risiko ini termasuk pendapatan yang lebih tinggi atau lebih rendah daripada yang dijangkakan dan kenaikan atau penurunan kadar yang mendadak.

“Pelaksanaan pengaturan kerja hibrid selepas era COVID-19, dengan kehadiran komunikasi secara bersemuka menunjukkan bahawa ruang pejabat masih kekal relevan, menurut pandangan kami,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Afifah berkata, ramai penyewa berpindah ke bangunan pejabat yang lebih baharu di daerah pusat perniagaan (CBD) Kuala Lumpur yang menawarkan kemudahan yang lebih baik dan ini membimbangkan KLCCSS, kerana ia mungkin akan menjejaskan kerelevanan ruang pejabatnya.

“Perpindahan penyewa ke pejabat baharu adalah disebabkan oleh trend peningkatan ke arah kualiti, di mana penyewa memberi keutamaan kepada bangunan berkualiti tinggi yang mesra alam dan sejajar dengan dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta menjadi ciri dalam kalangan syarikat multinasional (MNC).

“Kami percaya bahawa bangunan pejabat KLCCSS menunjukkan ketahanan disebabkan oleh sewa jangka panjang melebihi 15 tahun, yang melindungi mereka daripada trend ini.

“Walaupun bangunan pejabat KLCCSS sudah berusia, namun syarikat itu secara aktif mengguna pakai inisiatif mesra alam seperti lampu penjimatan tenaga, panel solar dan pusat perintah bangunan bersepadu, menjadikan hartanahnya memenuhi jangkaan ESG,” katanya.

Beliau berkata, dalam jangka masa terdekat, jangkaan pertumbuhan sewa pejabat di CDB Kuala Lumpur akan kekal mendatar atau menurun disebabkan oleh ketidakseimbangan bekalan dan permintaan, mencerminkan pasaran yang dikuasai oleh penyewa dengan kadar sewa yang kompetitif.

“Walaupun kami berhati-hati terhadap pasaran pejabat, kami percaya aset pejabat KLCCSS akan kukuh dan boleh menghadapi cabaran kerana ia disokong oleh perjanjian sewa jangka panjang, yang membawa kepada prestasi pendapatan yang stabil,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini