comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Komitmen pelaburan Microsoft cermin potensi digital Malaysia

FOTO: Reuters

KUALA LUMPUR: Komitmen pelaburan terbaharu berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) diumumkan Microsoft mencerminkan potensi digital Malaysia, demikian menurut Kementerian Digital.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Digital berkata, pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia itu menandakan satu kejayaan dalam kerjasama berterusan untuk memacu ekonomi digital negara ke hadapan.

“Kementerian Digital mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Microsoft membabitkan pelaburan tunggal terbesar mereka sebanyak AS$2.2 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang di Malaysia.

“Sebagai tambahan kepada pelaburan, Kementerian Digital juga memuji inisiatif Microsoft untuk mencipta peluang kemahiran AI (kecerdasan buatan) untuk dimanfaatkan 200,000 rakyat Malaysia.

“Ia bersama-sama dengan inisiatif AI Odyssey untuk memperkasakan 2,000 pembangun perisian Malaysia dengan memanfaatkan potensi teknologi AI,” katanya.

Menurut Kementerian Digital, sebagai rakan kongsi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sejak 1998, Microsoft telah memainkan peranan penting dalam pelbagai inisiatif kerjasama, termasuk pembangunan bakat, sokongan kepada syarikat pemula niaga serta penggunaan digital untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Pelaburan ini mengesahkan komitmen Microsoft terhadap pertumbuhan digital Malaysia dan mempamerkan kekuatan perkongsian ini.

“Disokong MDEC, pelaburan Microsoft di Malaysia termasuk penubuhan pusat perkhidmatan perniagaan global dan pembangunan pusat data di lokasi strategik di seluruh negara.

“Microsoft juga telah menjadi rakan kongsi utama dalam agenda pendigitalan sektor awam, selepas menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Awan dengan kerajaan pada 2022,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini