comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Konsortium disenarai pendek projek HSR mungkin diumum Jun

KUALA LUMPUR: Konsortium yang disenarai pendek untuk peringkat kertas cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dijangka akan dibuat sebelum akhir separuh pertama 2024, kata Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim.

“Ia tertakluk pada kelulusan pihak kerajaan selepas penilaian oleh MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp),” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa telah menyerahkan cadangan konsep bagi projek mega itu kepada MyHSR Corp awal tahun ini.

Tujuh konsortium itu terdiri daripada 31 firma yang mewakili spektrum penuh projek berkenaan.

Penyerahan cadangan konsep untuk projek HSR KL-Singapura itu adalah sebagai maklum balas kepada Permintaan Maklumat (RFI) yang dilancarkan oleh MyHSR Corp pada Julai 2023 dengan tarikh akhir bagi penyerahan RFI adalah pada 15 Januari lalu.

Penemuan daripada penilaian RFI akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Kabinet untuk pertimbangan.

Sekiranya maklum balas positif, MyHSR Corp akan meneruskan ke fasa kedua dengan Permintaan Cadangan (RFP) untuk mendapatkan cadangan terperinci daripada konsortium terpilih.

MyHSR Corp melancarkan RFI bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep HSR KL-Singapura berdasarkan inisiatif kerjasama perkongsian awam swasta (PFI) mengikut model Reka Bentuk-Biaya-Bina-Kendali-Pindah (DFBOT).

Pelaksanaan proses RFI itu juga menandakan inisiatif kerajaan dalam usaha melaksanakan semula projek HSR KL-Singapura menerusi mekanisme pembiayaan dan model pelaksanaan yang baharu, selain usaha untuk mempertingkat infrastruktur pengangkutan rel dan merancakkan ekonomi negara.

Antara konsortium yang dilaporkan membida kertas cadangan projek itu ialah pakatan yang dibentuk oleh Berjaya Rail Sdn Bhd, sebuah anak syarikat 70 peratus milik Berjaya Land Bhd (BLand) bersama dengan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB)

Sementara itu, Adam berkata satu lagi faktor pemangkin utama sektor pembinaan tahun ini adalah pelaksanaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang dijangka akan dilancarkan pada akhir suku keempat 2024 atau awal suku pertama 2025.

“Ini memandangkan MRT Corp (Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd) merancang untuk memuktamadkan tanah untuk diambil alih pada suku ketiga 2024,” katanya.

Beliau berkata, menurut data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), nilai bagi projek-projek pembinaan yang ditawarkan pada suku pertama tahun ini mencecah RM30.8 bilion.

Katanya, nilai ini belum lagi membabitkan kontrak untuk tiga segmen di bawah projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang, yang mungkin bernilai lebih RM10.5 bilion, menanti keputusan rundingan antara SRS Consortium dan MRT Corp bagi Segmen 1, manakala tender untuk Segmen 2 dan 3 belum dikeluarkan.

“Di Malaysia Timur, empat daripada 20 pakej kerja di bawah Fasa 1B Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bernilai RM15.7 bilion telah ditawarkan setakat 22 Mac dan 16 pakej lagi sedang menjalani proses pemerolehan sebelum dimuktamadkan pada April.

“Perkara ini bermakna projek ini sedang berkembang dengan baiknya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini