comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Konsortium Grab bank digital pertama beroperasi di Malaysia

Pei Si Lai

KUALA LUMPUR: GX Bank Bhd (GXBank), konsortium diterajui Grab menerima kelulusan untuk memulakan operasi bank digitalnya di Malaysia.

Kelulusan yang diperoleh GXBank menyaksikan kumpulan berkenaan menjadi syarikat pertama daripada lima konsortium yang menerima lesen bank digital yang diluluskan Kementerian Kewangan pada April tahun lalu.

Pengumuman yang dibuat GXBank itu juga menjadikannya syarikat pertama mendapat kelulusan untuk beroperasi di Malaysia, mendahului tarikh akhir yang ditetapkan iaitu pada April tahun depan.

GXBank dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu telah melengkapkan semakan kesediaan operasi dan diluluskan untuk memulakan operasi berkuat kuasa Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pei Si Lai, berkata GXBank akan memanfaatkan teknologi dan inovasi untuk memenuhi keperluan individu yang tidak atau kurang mendapat akses kepada perkhidmatan perbankan, selain perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya, berdasarkan legasi teknologi inovatif dan rangkuman ekonomi yang dimiliki Grab, bank digital itu berharap untuk mentakrifkan semula perbankan dan membentuk semula landskap kewangan Malaysia.

“Kerjasama dengan rakan kongsi konsortium seperti Kuok Group dan peserta industri lain akan membolehkan kami menjalinkan pakatan, memanfaatkan ekosistem masing-masing untuk memacu Malaysia supaya berdaya tahan dan inklusif dari segi kewangan, di mana tiada siapa yang ketinggalan dalam mendapat akses perbankan.

“Kami akan menyokong keperluan pelanggan melalui pelbagai saluran termasuk aplikasi perbankan dan sokongan pelanggan 24/7 melalui pelbagai platform,” katanya.

GXBank ialah anak syarikat GXS Bank Pte Ltd, usaha sama bank digital antara Grab Holdings Ltd dan Singapore Telecommunications Ltd (Singtel) serta konsortium pelabur Malaysia yang lain, termasuk Kuok Group.

Loading...
Terkini