
Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Kontraktor muda tempatan perlu dipertingkatkan kemahiran untuk bersaing dengan dengan syarikat antrabangsa dalam arena pasaran terbuka.
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, berkata syarikat-syarikat ahli CPTPP boleh membida projek pembinaan di Malaysia yang bernilai lebih RM371 juta menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan jumlah ini akan dikurangkan sehingga sekitar RM80 juta dalam 20 tahun akan datang.
Dalam ucapan majlis Konvensyen Kontraktor Muda Bumiputera, beliau turut menyarankan syarikat tempatan untuk menerapkan tekonologi digital seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam perniagaan mereka untuk bersaing dengan syarikat antarabangsa.
Terdapat 12 anggota CPTPP iaitu Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam serta United Kingdom.
Presiden, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, berkata industri pembinaan tidak boleh lagi mengguna pakai cara konvensional untuk meningkatkan taraf perniagaan dan bersaing dengan syarikat luar.
“Yang pasti negara luar boleh membida kontrak di Malaysia dan syarikat tempatan boleh membida kontrak di luar negara, tetapi adakah kita, kontraktor muda bersedia? Kalau kita tidak bersedia dengan ilmu teknologi dan sebagainya, memang menjadi cabaran untuk kita nak bersama-sama bersaing dengan mereka.
“Jadi kami juga mohon dan merayu kepada kerajaan supaya memberi sikit lebih ruang dan peluang kepada kontraktor bumiputera untuk membida juga projek-projek yang berskala besar,” katanya kepada BuletinTV3 pada Konvensyen Kontraktor Muda Bumiputera.
Tambah beliau, penglibatan syarikat tempatan untuk membina projek di luar negara masih berada pada skala kecil susulan kekangan modal dan keberatan syarikat untuk berkembang ke luar negara selepas COVID-19.
Selain menjadi kontraktor, golongan muda juga disaran untuk mempelbagaikan perniagaan dalam bidang pembinaan seperti menjadi pembekal bahan binaan antarabangsa. Langkah seperti ini amat penting untuk menambahkan nilai kepada syarikat tempatan, serta memberi jaminan kepada industri pembinaan yang mempunyai penawaran pekerjaan kukuh.
Lawatan kerja beliau di Dubai, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini mendapati negara-negara di Timur Tengah amat mengalukan penglibatan dari Malaysia dalam industri ini.