comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kos perniagaan meningkat 20% pada separuh pertama 2023 – FMM

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai. – Foto: NSTP

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kos menjalankan perniagaan dalam industri pembuatan meningkat sehingga 20 peratus pada separuh pertama tahun ini.

Tinjauan Persekitaran Perniagaan oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mendedahkan komponen utama kenaikan kos adalah buruh, penyelenggaraan jentera, bahan mentah serta penarikan subsidi tenaga.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata kos tenaga meningkat lebih 20 peratus oleh 16 peratus responden manakala majoriti melaporkan peningkatan antara 21 hingga 50 peratus.

“Tenaga elektrik sahaja kebanyakannya memperuntuk 30 hingga 40 peratus peningkatan kos. Gas, sehingga kini, peningkatan gas juga sekitar 60 hingga 80 peratus, yang ini juga memberi impak yang besar,” katanya pada sidang media Tinjauan Persekitaran Perniagaan FMM hari ini.

Sektor utama yang terkesan termasuk bahan kimia dan produk kimia, makanan, minuman dan tembakau, serta produk plastik dan plastik.

Dalam pada itu, syarikat mengambil sikap berhati-hati terhadap prospek untuk separuh kedua tahun ini, berikutan persekitaran ekonomi global dan domestik yang mencabar.

Untuk itu, campur tangan kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) amat diperlukan untuk membantu mengendalikan kos termasuk langkah untuk mengukuhkan ringgit. Ini kerana 55 peratus barangan perantaraan diimport dan dibayar dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

“Ramai bersangka kelemahan ringgit dapat memberi margin keuntungan yang baik kepada para pengeksport. Tidak benar kerana barangan perantaraan diimport menyebabkan margin dikecilkan ekoran ringgit yang lemah.

“Jika nilai ringgit-dolar AS antara 4.6 dan 4.7, ia akan menyukarkan syarikat untuk menyerap kos kenaikan untuk bersaing dalam perniagaan. Jika harga dinaikkan ketara, tiada siapa ingin membeli. Tetapi sebahagian daripada itu tidak ada pilihan, syarikat perlu menyalurkan beberapa peratus kenaikan kos kepada pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan FMM mendapati responden menggunakan mata wang selain dolar AS dalam urusan perniagaan import dan eksport mereka. Ini susulan permintaan pembeli dan penjual asing, yang didahului renmimbi, diikuti yen dan euro.

Loading...
Terkini