comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

KSP RMK12: Malaysia bangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bagi menghadapi cabaran dan dampak negara menua, kerajaan sedang membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengajak semua pihak untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan menyesuaikan perancangan supaya kebijakan ini kelak dapat dilaksanakan secara holistik demi pembangunan negara yang mampan.

“Negara kita telah beralih ke status negara menua pada tahun 2021, apabila peratusan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas mencapai 7% daripada jumlah populasi berdasarkan takrifan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.”

“Dalam tempoh dua dekad lagi, negara dijangka beralih kepada negara tua apabila kohort umur yang sama mencapai 14% daripada jumlah populasi, peralihan ini tentunya memberikan kesan kepada pembangunan sosioekonomi dan kedudukan fiskal negara sekiranya tidak diberikan perhatian serius” kata Perdana Menteri semasa membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Kesan yang paling ketara ialah penurunan trend populasi pekerja dan produktiviti serta peningkatan komitmen kewangan dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kepada lebih ramai warga emas.

Kerajaan juga mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan Pusat Geriatrik baharu bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada warga emas.

Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 sedang diperhalusi dan dijangka akan dikuatkuasakan pada tahun 2025.

Loading...
Terkini