comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

KSP RMK12: Strategi holistik, tumpu pembangunan ekonomi masyarakat

KUALA LUMPUR: Strategi dan inisiatif yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) menyeluruh dan menitikberatkan pembangunan ekonomi melibatkan seluruh lapisan masyarakat Malaysia.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata ini dapat dilihat menerusi pelaksanaan inisiatif kerajaan merangkumi pelbagai kementerian, yang antara lain menumpukan agenda menoktahkan kemiskinan, digitalisasi dan pelaksanaan model gaji progresif ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan taraf hidup rakyat.

“Ini menunjukkan kerajaan serius untuk melaksanakan gaji progresif… ini akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak iaitu kepada majikan dan juga pekerja.

Apa yang diharapkan oleh pekerja adalah mereka menerima gaji yang setimpal dan adil manakala majikan pula mereka mengharapkan produktiviti yang tinggi (dan seterusnya) mereka dapat memaksimumkan keuntungan mereka,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan KSP RMK12 di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan KSP RMK12 di Dewan Rakyat hari ini berkata ikhtiar akan dipergiat untuk menstrukturkan semula pasaran buruh dan memperkukuhkan sistem pendidikan bagi menyediakan bakat tersedia pada masa hadapan.

Beliau berkata anjakan utama iaitu ketersediaan bakat masa hadapan akan dilaksanakan berkaitan dengan gaji, levi pekerja asing dan kemahiran yang berterusan.

Loading...
Terkini