comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

KTMB peruntuk RM2.6 juta untuk 208,000 tiket harga diskaun

Oleh Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperuntukan lebih RM2.6 juta bagi menyediakan diskaun untuk tiket perkhidmatannya tahun ini.

Ia membabitkan lebih 208,000 tiket dengan diskaun sehingga 25 peratus.

Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, KTMB berkata “Mungkin sesetengah penumpang kami mengadu kerana tidak dapat tiket, tetapi mereka biasa tidak dapat tiket pada masa hujung minggu atau musim perayaan. Sebenarnya, kami punya jumlah keseluruhan kapasiti pada tahun lalu secara purata atau faktor muatan adalah melebihi 75% ke 80%.”

“KTMB sentiasa cakna dengan maklum balas rakyat Malaysia yang memilih perkhidmatan kereta api yang berkualiti, selesa dan berpatutan, terutamanya mereka yang bekeluarga untuk pergi bercuti dan pulang ke kampung. Oleh itu, kempen ini salah satu tawaran KTMB untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat Malaysia,”

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Kempen Travel Sama-Sama di KL Sentral pagi tadi.

Kempen ini memberikan diskaun secara berkumpulan sebanyak 25 peratus bagi pembelian bermula 27 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023 dan membabitkan semua perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan Perkhidmatan Ekspres Intercity.

Pemberian diskaun ini hanya untuk warganegara Malaysia dengan pembelian minimum empat (4) tiket dewasa atau kanak-kanak dalam satu transaksi yang sama.

Dalam pada itu, pihaknya juga akan menambah kekerapan ETS daripada 32 perjalanan sehari ke 34 dari Padang Besar ke Gemas dan sebaliknya.

Di majlis ini juga, KTMB turut meraikan penumpang setia perkhidmatan ETS Tahun 2022.

Tiga (3) penumpang bertuah telah dipilih berdasarkan kriteria-kriteria tertentu dan membawa pulang hadiah berupa sebuah tablet, barangan Railboutique dan tambah nilai di KTM Wallet bernilai RM2,000.

Antara kriterianya ialah menggunakan perkhidmatan ETS yang kerap dari bulan Januari hingga Disember, pembeli tiket dewasa dan mendaftar di aplikasi KTM Mobile (KITS).

“Program ini akan diteruskan pada setiap tahun sebagai tanda penghargaan KTMB kepada pengguna setia ETS dan dapat menarik minat lagi orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan ini sebagai pengangkutan utama,” tambah Datuk Rani.

Loading...
Terkini