comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

KWSP rekod 107,105 pendaftaran ahli baharu suku pertama

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan 107,105 pendaftaran ahli baharu pada suku pertama tahun ini, menjadikan jumlah keahlian kepada 16.1 juta sehingga Mac 2024.

Daripada jumlah itu, sebanyak 8.6 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.1 juta tenaga buruh Malaysia.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, pendaftaran majikan baharu juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 20,080 dalam tempoh dikaji, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 608,433.

Katanya, jumlah caruman yang diterima meningkat kepada RM29.13 bilion pada suku pertama 2024 daripada RM25.83 bilion pada suku sama tahun lalu.

“Pada suku yang dikaji, KWSP juga mengekalkan nisbah ahli aktif dengan tidak aktif pada 53:47 selaras dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, dengan 8.6 juta ahli aktif daripada jumlah keseluruhan keahlian sebanyak 16.1 juta,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

KWSP berkata, bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dalam sektor informal dan pekerja gig mendapat liputan perlindungan sosial, ia terus memperluaskan liputan i-Saraan bagi membolehkan pekerja dalam sektor informal atau tanpa pendapatan tetap untuk menyimpan dengan KWSP.

“Sepanjang suku pertama 2024, i-Saraan telah merekodkan pendaftaran baharu sebanyak 146,171, seterusnya menjadikan jumlah keseluruhan keahlian i-Saraan meningkat 43.9 peratus kepada 1.4 juta, daripada 997,659 pada suku yang sama pada 2023,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata pengurus dana persaraan pekerja swasta itu kekal komited dalam menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan terus memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.

Beliau berkata, KWSP mengekalkan jangkaan optimistik terhadap ekonomi domestik yang telah memulakan tahun ini atas landasan kukuh dan telah merekodkan pertumbuhan pesat pada 4.2 peratus bagi suku pertama 2024.

“Pasaran buruh negara kekal berdaya tahan, dengan pekerjaan dan kadar penyertaan tenaga buruh terus meningkat.

Malaysia dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh pada 2024, disokong oleh pengukuhan permintaan domestik dan pemulihan eksport.

“Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus tahun ini dan inflasi akan kekal sederhana pada kadar purata antara 2.0 hingga 3.5 peratus,” katanya.

Beliau menegaskan, pertumbuhan global tahun ini adalah dijangka menjadi lebih positif, namun risiko kekal tinggi berikutan ketidaktentuan daripada kesan pengetatan dasar monetari terhadap pertumbuhan dan kestabilan pasaran kewangan, krisis pasaran hartanah China, serta ketegangan geopolitik yang boleh mendorong harga komoditi lebih tinggi dan mengancam pertumbuhan ekonomi global.

“KWSP akan terus mengukuhkan strategi pengurusan risikonya khususnya dalam mengenal pasti dan mengurangkan risiko yang mempunyai kaitan dengan perdagangan antarabangsa dan pergerakan geopolitik dunia.

“KWSP juga akan memantau rapat keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dijangka akan mempengaruhi sentimen dan pergerakan pasaran global,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini