comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Labuan tidak boleh ketinggalan dalam pertumbuhan ekonomi Borneo – LCC

LABUAN: Labuan semestinya tidak boleh ketinggalan dalam merebut peluang di kawasan pertumbuhan ekonomi wilayah Borneo, kata Pengerusi Dewan Perniagaan Labuan (LCC), Daniel Doughty.

Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menyumbang kepada kemakmuran ekonomi wilayah Borneo, LCC mengambil bahagian di Meja Bulat Perniagaan Borneo 2023 (BBR 2023) untuk menyerlahkan kekuatan Labuan, khususnya dalam sektor perkhidmatan kewangan antarabangsa yang berkembang maju menjadi pemacu penting pertumbuhan ekonomi di pulau itu.

Bertemakan ‘Menghubungkan Borneo: Membina Rantaian Nilai Serantau melalui Kerjasama’, acara itu dianjurkan bersama oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN-Brunei Darussalam.

Diadakan di Jakarta, Indonesia pada hari ini, fokus utama BBR 2023 adalah untuk meningkatkan kerjasama serantau dan menggalakkan integrasi ekonomi dalam wilayah Borneo.

“Penglibatan LCC di Meja Bulat Perniagaan Borneo 2023 mencerminkan komitmen Labuan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan serantau dan memanfaatkan kekuatannya dalam sektor perniagaan dan kewangan antarabangsa bagi menyumbang kepada kemakmuran ekonomi di wilayah Borneo.

“Penyertaan kami dalam meja bulat ini memberi peluang kepada ahli-ahli kami untuk menjadi sebahagian daripada ekonomi serantau, meningkatkan rangkaian kami dan pada masa yang sama meletakkan kepentingan Labuan dalam ruang ekonomi Borneo serantau,” katanya.

Acara itu telah menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan untuk membincangkan strategi bagi meningkatkan perdagangan intra-Borneo, menarik pelaburan langsung asing dan melaksanakan penyelesaian digital yang inovatif.

Acara itu juga terutamanya akan memberi tumpuan kepada Nusantara, ibu negara baharu Indonesia dan pasaran digital ’DagangBorneo’.

Seramai 75 peserta, termasuk pemimpin komuniti daripada pelbagai dewan perniagaan, institusi kewangan dan pertubuhan perniagaan dari Indonesia, Brunei, Sabah, Sarawak, Labuan, Kalimantan Selatan, Singapura, Filipina, Jepun dan Australia menghadiri persidangan itu.

Para peserta dijangka memperoleh pandangan yang tidak ternilai tentang peluang-peluang ekonomi serantau, meningkatkan rangkaian dengan sesama pemegang kepentingan dan terlibat dalam perbincangan mengenai perdagangan, pelaburan serta pembangunan mampan.

Daniel berkata persidangan meja bulat itu bersedia menjadi platform penting untuk berkongsi perkembangan ekonomi terkini di Borneo, memupuk kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan dan meneroka kaedah bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kerjasama di subrantau itu.

Loading...
Terkini