comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

‘Laksana segera perancangan Ekonomi MADANI’ – KJ 

Khairy menggesa kerajaan melaksanakan perancangan ekonomi dalam kadar segera termasuk Kerangka Ekonomi MADANI.

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu segera melaksanakan perancangan ekonomi yang diumumkan dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi membolehkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk tahun ini dapat dicapai.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ada pihak berpendapat dan beliau turut bersetuju bahawa kesan asas yang tinggi pada suku kedua 2022 menyebabkan pertumbuhan ekonomi pada suku kedua tahun ini ini agak rendah.

Katanya, turut perlu diakui bahawa persekitaran dunia disebabkan masalah di China, masalah dengan kos kewangan yang tinggi, iaitu kadar faedah tinggi di negara-negara lain agak membuatkan ekonomi dunia berhati-hati.

“Namun, ini sebenarnya akan memberi kesan kepada sasaran kita bagi tahun ini, sasaran kita untuk (pertumbuhan KDNK) 2023 ialah 4.0 jingga 5.0 peratus, dan biasanya jika negara sudah tersasar sasarannya, tidak boleh lagi untuk salahkan orang lain, sebab sama ada kita semak semula sasaran sekarang atau kita cuba dapatkan sasaran berkenaan.

“Ada penganalisis menyebut bahawa perlu berhati-hati selepas ini jika masih terlalu banyak bergantung pada permintaan domestik, tetapi eksport masih perlahan dan kita akan ada masalah untuk capai 4.0 hingga 5.0 peratus ini.

“Jadi, saya rasa ini adalah ‘amaran yang wajar’ kepada kerajaan untuk memastikan apa saja usaha dan perancangan yang diumumkan dalam naratif MADANI, NTER dan sebagainya betul-betul dirancakkan segera, kalau tidak mungkin tidak tercapai sasaran (KDNK) ini,” katanya dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap.

Pertumbuhan KDNK Malaysia pada suku tahun kedua 2023 menyederhana kepada 2.9 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.Pertumbuhan ekonomi 2.9 peratus pada suku tahun kedua 2023 didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan, selain permintaan luaran yang lebih perlahan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan yakin dapat mencapai unjuran KDNK pada 4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2023 berikutan keadaan ekonomi domestik terus kekal rancak dengan banyak petunjuk memaparkan aliran yang sihat.

Ketika menegaskan perkara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi menyokong momentum pertumbuhan domestik, kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal responsif selain mempercepat pelaksanaan projek serta merealisasikan pelaburan yang diluluskan.

Loading...
Terkini