comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Laluan udara antara Malaysia dan India perlu diperluas

NEW DELHI:Laluan udara antara Malaysia dan India perlu diperluas lagi untuk memulihkan industri pelancongan ke tahap seperti sebelum pandemik, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.

Malaysia Airlines, Batik Air, AirAsia dan IndiGo pada masa ini mengendalikan 170 penerbangan mingguan dari India ke Malaysia yang menawarkan 29,000 tempat duduk.

“Kesalinghubungan antara Malaysia dan India berada di bawah par,” kata Khairul dalam temu bual dengan Bernama di New Delhi pada Rabu.

Beliau berkata dengan bilangan pelancong yang semakin meningkat, syarikat penerbangan harus mempertimbangkan untuk menambah kapasiti untuk laluan itu.

Tourism Malaysia pada tahun ini telah mempergiat usaha untuk meningkatkan ketibaan pelancong dari India dengan pelbagai aktiviti promosi di bandar-bandar utama.

Industri pelancongan Malaysia terus dipergiat menerusi pameran pelancongan SATTE (South Asia Travel and Tourism Exchange) selama tiga hari yang bermula di Greater Noida dekat New Delhi pada Khamis.

Pavilion Malaysia di SATTE terdiri 25 ejen pelancongan, 14 pengendali hotel, tiga syarikat penerbangan, empat lembaga pelancongan negeri dan beberapa syarikat pelancongan lain.

Khairul berkata hubungan dengan India sudah terjalin selama bertahun-tahun dan pemain pelancongan Malaysia tidak sabar untuk memperluas lagi kempen pemulihan pelancongan pascapandemik.

“Pelancong India sudah biasa dengan Malaysia dan adalah penting bagi kami menarik lebih ramai pelanong untuk meneroka Malaysia.

“Kami berpendapat ada dua segmen yang sangat penting dalam pasaran India iaitu Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) dan pelancongan perkahwinan,” katanya.

Tourism Malaysia bersama Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menganjurkan jerayawara di lima bandar utama India — Chennai, Bengaluru, Hyderabad, Mumbai dan Ahmedabad — antara 30 Januari dan 7 Februari untuk mengukuhkan sektor pelancongan Malaysia.

Sebelum pandemik COVID-19, Malaysia mencatatkan 735,309 ketibaan pelancong India pada 2019.

Menurut kenyataan akhbar Tourism Malaysia, ia menerima seramai 187,037 pelancong India antara Januari dan September 2022 ,

Malaysia berharap dapat menarik 15.6 juta ketibaan pelancong antarabangsa termasuk 400,000 dari India pada 2023.

BERNAMA

Loading...
Terkini