comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Lapan syarikat Malaysia sertai ACETECH Mumbai

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Lapan syarikat Malaysia akan mengambil bahagian dalam pameran ACETECH Mumbai, pameran tahunan terbesar India mengenai seni bina, pembinaan, kejuruteraan, bahan binaan dan sektor berkaitan, melalui penyelarasan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Syarikat-syarikat berkenaan akan mempamerkan bahan binaan dan bangunan termasuk lantai resin, tangki panel, pelet plastik dan peralatan sanitari pada acara yang berlangsung dari 10 hingga 13 November 2022.

“Perkhidmatan berkaitan pensijilan akreditasi, makmal ujian dan perundingan bangunan hijau juga akan dipromosikan pada pameran itu,” kata MATRADE dalam satu kenyataan, hari ini. Selain Mumbai, ACETECH juga diadakan di Delhi, Bengaluru dan Ahmedabad.

“Tahun ini menandakan kehadiran pertama MATRADE di ACETECH Mumbai selepas menyertai ACETECH Delhi pada 2018,” kata cabang promosi perdagangan luar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu. Pengarah Bahagian Pembinaan dan Perkhidmatan Perniagaan MATRADE, Idzham Abdul Hamid, berkata antara negara-negara Asia Selatan, India adalah rakan dagangan, destinasi eksport serta sumber import terbesar Malaysia.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan India meningkat 26 peratus kepada RM69.73 bilion pada 2021.

“Oleh itu, penyertaan dalam ACETECH akan membantu mempromosikan produk dan perkhidmatan Malaysia serta jenama di India.

“Ini juga selaras dengan aspirasi Pelan Tindakan Perdagangan Nasional, iaitu untuk meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia dan mengukuhkan kedudukannya di arena antarabangsa,” kata Idzham.

MATRADE juga berhasrat untuk menggalakkan lebih banyak syarikat Malaysia terbabit secara aktif dalam projek infrastruktur di India seperti Lebuhraya Nasional dan Taman Logistik Multimodal.

Ia berkata, sektor pembinaan di India mempunyai potensi yang besar kerana kerajaan merancang untuk menyokong pembangunan infrastruktur di negara itu sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan India telah menganggarkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar sembilan peratus pada 2022 dan lebih tujuh peratus pada 2023, menjadikan India antara ekonomi membangun yang paling pesat berkembang di dunia.

Acara ACETECH setiap tahun menarik lebih 2,800 peserta pameran dan mempamerkan produk, teknologi dan perkhidmatan terkini yang terdapat di pasaran.

Pengeksport Malaysia yang berminat untuk menembusi pasaran India boleh menghubungi MATRADE Mumbai di [email protected] atau MATRADE Chennai di [email protected] – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini