comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Laporan SC: Usaha lindungi pelabur dengan pendekatan menyeluruh pelbagai hala diteruskan

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) meneruskan pendekatan menyeluruh pelbagai hala dalam melindungi dan memperkasa pelabur, terutama dengan peningkatan skim penipuan dan aktiviti tidak berlesen dalam pasaran modal.

Dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini, SC berkata ia juga meneruskan usahanya untuk memperkasa pelabur melalui libat urus dalam media sosial dan program jangkauan pendidikan pelabur yang lain, secara maya dan fizikal.

“SC mengambil pendekatan tiga hala yang meliputi mencela, mengenakan penalti serta mengeluarkan surat amaran keras kepada individu yang terlibat.

“Sebagai sebuah agensi penguatkuasa, SC mempunyai rangkaian alat penguatkuasaan yang boleh digunakan dan ia digunakan dengan berkesan, mengambil kira keseriusan kesalahan, impak kepada pelabur, kemungkinan wang boleh diperolehi semula, masa dan kos yang terlibat,” katanya.

Bagi membanteras peningkatan skim penipuan pelaburan dan firma klon, katanya SC telah menubuhkan pasukan petugas dalaman untuk mempercepat penyiasatan dan memulakan tindakan penguatkuasaan terhadap penipu yang disyaki.

Sementara itu, katanya Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (SIDREC), sebuah badan penyelesaian pertikaian bebas dan tidak berat sebelah bagi pasaran modal terus memudahkan penyelesaian pertikaian kewangan antara pelabur runcit dan pengantara pasaran dengan cara yang mudah diakses, cekap dan berkesan.

Katanya SIDREC menambah baik perlindungan pelabur dengan memberi akses kepada pelabur dengan tuntutan yang kecil untuk menyelesaikan pertikaian melalui pengurusan kes, pengantaraan dan pengadilan, tanpa memerlukan proses perbicaraan yang mahal.

“Pada 2022, SIDREC menerima 239 tuntutan dan pertanyaan, apabila 72 daripadanya adalah pertikaian yang layak (2021: 275 tuntutan dan pertanyaan, apabila 47 daripadanya adalah pertikaian yang layak).

“Sebanyak 80.6 peratus (25 daripada 31) daripada pertikaian yang layak yang diselesaikan pada 2022 telah diselesaikan melalui pengurusan kes dan pengantaraan tanpa perlu diteruskan ke proses pengadilan,” menurut SC. – BERNAMA

Loading...
Terkini