comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

LBS catat keuntungan RM528.9 juta

LBS Bina Group Bhd

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd, pemaju hartanah terkemuka mencatatkan keputusan kukuh pada suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dipacu keuntungan yang memberangsangkan berjumlah RM528.9 juta.

Dalam satu kenyataan, LBS berkata keuntungan yang dicatatkan suku dikaji juga adalah 108 peratus lebih tinggi tahun ke tahun berbanding RM254 juta yang dicatatkan suku sama tahun sebelumnya. “Keuntungan selepas cukai dan dan kepentingan bukan kawalan (PATMI) masing-masing meningkat sebanyak 96 peratus dan 95 peratus tahun ke tahun kepada RM39.2 juta dan RM35.4 juta daripada RM20 juta dan RM18.1 juta,” katanya.

Menurut LBS, segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar kepada keuntungan kumpulan dengan rekod pembangunan hartanah mencatatkan peningkatan dua kali ganda daripada RM243.2 juta kepada RM512.2 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022.

“Pendapatan ini sebahagian besarnya didorong oleh kadar pengambilan positif daripada projek utama LBS di Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth dan Taman Perindustrian Alam Awana.

“Selain itu, LBS turut mengumumkan bahawa projek pembangunan di Lembah Klang turut menyumbang lebih 85 peratus kepada pendapatan syarikat bagi tempoh kewangan semasa,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, pendapatan dan PATMI masing-masing melonjak sebanyak 46 peratus dan 69 peratus kepada RM1.3 bilion dan RM100.6 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Syarikat turut mengumumkan bahawa sehingga 21 November 2022, LBS telah melepasi sasaran jualan hartanah RM1.6 bilion iaitu peningkatan 14 peratus kepada RM1.83 bilion. Sehingga 31 Oktober 2022, LBS mempunyai simpanan tanah untuk pembangunan masa hadapan seluas 1,077.7 hektar dan nilai jualan belum dibil sebanyak RM2.54 bilion,” katanya.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata kumpulan telah merekodkan prestasi yang sangat baik pada suku dikaji di mana keadaan itu menunjukkan bahawa permintaan hartanah mampu milik akan terus kukuh dan relevan.

“LBS berada di landasan yang tepat dengan pembinaan pembangunan di lokasi dan kawasan strategik di samping harga berpatutan telah membuahkan hasil sekali gus berjaya mengekalkan prestasi yang baik sepanjang tahun 2022. “LBS berhasrat untuk melancarkan hartanah bernilai RM424 juta pada suku keempat tahun ini dan ia bakal memberikan kami kelebihan untuk mengakhiri tahun 2022 dengan cemerlang dan positif,” katanya.

Hock San berkata, menerusi pengumuman terkini Bank Negara Malaysia (BNM) yang merujuk kepada kemungkinan negara berdepan iklim ekonomi mencabar pada tahun hadapan, susulan daripada masalah bekalan, ketidakstabilan geopolitik dan turun naik pasaran, boleh menjejaskan pertumbuhan.

“Bagaimanapun, kami akan lebih berhati-hati dan mengambil kira segenap faktor negatif ini kerana dengan pendekatan dan langkah strategik, LBS percaya kami berupaya meminimumkan kadar gangguan kepada perniagaan kami pada suku hadapan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini