Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Lebih banyak negara menerima kaedah pembayaran melalui DuitNow QR secara berperingkat bermula tahun hadapan, termasuk Jepun dan Korea Selatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (Paynet) Farhan Ahmad, berkata setakat ini, rakyat Malaysia boleh menggunakan DuitNow QR rentas sempadan di Singapura, Indonesia dan Thailand sejak awal tahun ini.
“Rakyat Malaysia boleh ke negara terlibat dan pelancong boleh datang ke sini dan menggunakan sistem tersebut. Untuk rakyat China, kami telah melancarkan perkhidmatan di Malaysia dengan Alipay+ minggu lalu tetapi untuk rakyat Malaysia menggunakan lapan rangkaian perkhidmatan di negara terlibat bermula tahun depan,” katanya selepas melancarkan sistem pembayaran digital rentas sempadan PayNet dan Alipay+ hari ini.
Kerjasama antara Paynet dan Alipay+ di bawah Ant Group membolehkan lapan e-dompet diterima DuitNow di 1.8 juta lokasi di Malaysia sejak 31 Oktober lalu.
Dalam pada itu, pembayaran digital rentas sempadan itu juga membolehkan pelancong dengan e-dompet yang disokong sistem penyelesaian digital, Alipay+, iaitu Alipay (China), AlipayHK (Hong Kong), HelloMoney oleh AUB (Filipina), Hipay (Mongolia), MPay (Macau), Naver Pay (Jepun), Toss Pay (Korea Selatan) dan TrueMoney (Thailand) untuk melancong tanpa tunai di negara ini.
Manakala bermula tahun depan, rakyat Malaysia pula dapat menggunakan DuitNow QR mereka menerusi rangkaian di lapan negara tersebut.
Paynet juga berhasrat memperluaskan rangkaian pembayaran digital rentas sempadan ke 10 lagi negara Asia dalam tempoh dua tahun.
Tambah Farhan, tiada caj perkhidmatan akan dikenakan kepada pengguna untuk melaksanakan urus niaga merentas sempadan ini.
Kadar pertukaran asing juga akan dipamerkan dalam mata wang tempatan semasa transaksi dibuat bagi memudahkan pengguna.