comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Lebih RM100 juta diperlukan pekebun kecil untuk tanam semula sawit dalam Belanjawan 2025

Oleh: Amanda Lopez

PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berharap peruntukan yang lebih besar dalam Belanjawan 2025 untuk pekebun kecil tanam semula sawit.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dana penanaman semula yang lebih besar berbanding sebelum ini diperlukan untuk pekebun kecil kerana banyak pokok sawit yang dikendalikan oleh pekebun kecil ini sudah tua.

“Penanaman semula pekebun kecil ini tidak ada duit. Ia mewakili hampir 1.5 juta hektar kelapa sawit yang dikendalikan oleh pekebun kecil. Jadi mereka memerlukan dana ini.” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM 2024) tengah hari tadi.

Katanya, dalam Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi aktiviti penanaman semula sawit yang mana 50% dalam bentuk geran dan baki 50% dalam bentuk pinjaman.

“Tapi akan datang saya ingat banyak lagi mereka perlu untuk penanaman semula untuk memastikan eksport kita tidak terjejas kerana penanaman ini bermula tahun pertama ke tahun ketiga baru akan nampak hasil”. tambah beliau.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani semasa memberi ucap tama di AISM 2024.

Menurut data terkini MPOB (sehingga Jun 2024), 10% keluasan tanaman pokok sawit yang melibatkan sekitar 560,000 hektar telah melebihi usia 25 tahun.

Hal ini juga dicerminkan dalam prestasi pengeluaran CPO yang menurun berbanding dengan lima tahun lalu di mana pengeluaran CPO hampir mencecah 20 juta tan (2023: 18.6 juta tan).

Dengan itu, beliau ingin menekankan kepentingan penanaman semula mengikut jadual pada kadar 4% setiap tahun bagi meningkatkan pengeluaran minyak sawit negara yang mampan.

Ketika ini, katanya kadar penanaman semula sawit secara purata adalah rendah pada 1.8%.

Dalam pada itu, beliau berkata, kutipan cukai keuntungan luar biasa (windfall tax) harus dipertimbangkan semula mengikut keadaan semasa.

Beliau berkata, cukai ini tidak bersesuaian ekoran peningkatan kos mengeluarkan satu tan metrik minyak sawit.

Johari telah membentangkan isu ini di Kementerian Kewangan dua minggu lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini