comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Lebihan akaun semasa meningkat kepada RM16.2 bilion

KUALA LUMPUR: Lebihan baki akaun semasa Malaysia meningkat kepada RM16.2 bilion pada suku pertama 2024, membentuk 3.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, peningkatan itu didorong terutamanya oleh akaun pendapatan dan barangan.

Katanya, lebihan akaun barangan meningkat kepada RM32 bilion pada suku pertama itu.

“Akaun perkhidmatan merekodkan defisit yang lebih rendah sebanyak RM7.3 bilion, terutamanya didorong oleh defisit yang lebih rendah dalam telekomunikasi, komputer dan perkhidmatan maklumat dan lebihan tinggi dalam perkhidmatan pembuatan dan perjalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kedudukan akaun semasa negara pada sidang media pengumuman prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2024 di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata, akaun pendapatan utama menunjukkan defisit yang lebih kecil iaitu RM8.8 bilion berikutan pendapatan yang lebih tinggi daripada pinjaman dan deposit di luar negara serta keuntungan terakru lebih rendah kepada pelabur asing di Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, defisit pendapatan sekunder bertukar menjadi lebihan pada suku itu.

Dari segi pelaburan pula, Mohd Uzir berkata, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM5.5 bilion berikutan suntikan ekuiti dan pemulihan dalam pendapatan pelaburan semula.

Beliau berkata, aliran masuk FDI terutamanya disalurkan kepada perkhidmatan diikuti sektor perlombongan dan kuari.

Katanya, sumber FDI utama ialah Hong Kong, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman.

“Dalam pada itu, pelaburan langsung ke luar negara (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM11.5 bilion. Sektor utama ialah perkhidmatan, diikuti oleh perlombongan dan kuari dan pembinaan.

“Singapura, Indonesia dan Kepulauan Cayman adalah destinasi utama DIA,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini