comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Lemon Law elak pengguna terus ‘dibuli’ peniaga

Lemon Law merangkumi semua produk pengguna membabitkan kereta bermotor, peralatan rumah, perabot dan peranti digital – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Lemon Law di Malaysia akan melindungi pengguna daripada penipuan dan kerosakan produk yang dijual, kata Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah.

Beliau berkata, di bawah Lemon Law, peniaga bertanggungjawab untuk membaiki, menggantikan, membayar balik atau menurunkan harga produk yang didapati rosak.

“Lemon Law biasanya merangkumi semua produk pengguna membabitkan kereta bermotor, peralatan rumah, perabot, peranti digital dan banyak lagi. Ia akan terpakai kepada mana-mana peniaga yang menjual produk pengguna di Malaysia,” katanya kepada BH.

Merujuk kepada sektor automotif, Saravanan berkata, Lemon Law memberi pembeli kereta hak untuk menerima bayaran balik atau kereta baharu jika kenderaan yang dibeli mengalami kecacatan serius atau menghadapi masalah mekanikal.

Menerusi Lemon Law, katanya, pengeluar kenderaan dikehendaki membaiki kenderaan dan jika ia tidak dapat berbuat demikian selepas beberapa percubaan yang munasabah, ia mesti sama ada menggantikan kenderaan itu atau membayar balik harga pembelian.

“Pelanggan boleh memulangkan produk yang rosak dan meminta penggantian daripada penjualnya seperti pengurangan harga. Pilihan lain termasuk bayaran balik penuh wang yang telah dibayar, pembaikan atau penggantian produk yang rosak dalam tempoh masa yang munasabah.

“Sebagai contoh, jika produk yang dibeli mengalami kegagalan atau rosak dalam tempoh enam bulan, anda boleh menggunakan Lemon Law untuk pembaikan atau penggantian.

“Undang-undang ini akan merangkumi penjelasan mengenai ‘waranti rahsia,’ panggilan semula kenderaan dalam konteks pembelian dan pemilikan kenderaan,” katanya.

Beliau menegaskan, Lemon Law telah disuarakan FOMCA sejak 2007 sebelum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini dikenali Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diterajui bekas menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, meneliti perkara itu.

“Dengan undang-undang ini, pengguna akan memiliki lebih banyak peluang untuk memfailkan aduan. Buat masa ini, pengguna tidak dilindungi jika mereka membeli kereta baharu atau terpakai dengan kecacatan besar,” katanya.

Loading...
Terkini