comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Lepasan sekolah berpeluang jalani Academy in Industry, gaji RM2,000 serta elaun

 

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kira-kira 20,000 lepasan sekolah berpeluang menjalani latihan industri sehingga 18 bulan dengan gaji bersih sekitar RM2,000 sebulan, di bawah program Academy in Industry (AiI).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kerajaan turut memperuntukkan RM40 juta bagi 2023 untuk menjayakan program ini, yang bertujuan membantu belia mendapat pekerjaan dalam sektor pembuatan dan teknikal.

Rafizi berucap pada Majlis Pelancaran Program AiI hari ini. Foto – NSTP

“Anda akan mendapat RM2,000 sebulan untuk tempoh 18 bulan. Selain itu penyelesaian pemindahan pun diuruskan, anda dapat insentif untuk galakan terus bekerja dan lulus latihan. Jadi selepas 18 bulan, pada usia sekitar 19 tahun ke atas, anda sebenarnya telah diperakui dari segi kemahiran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program AiI hari ini.

Menerusi program AiI, pelatih bukan sahaja menerima gaji sekitar RM2,000 sebulan daripada majikan, malah, kerajaan akan menambah elaun RM2,500 untuk tempoh 18 bulan. Ia akan diberikan mengikut tiga fasa iaitu RM1,500 proses pemindahan kediaman, RM500 capaian kekal sembilan bulan serta RM500 pensijilan.

Majikan juga akan menerima insentif RM1,500 bagi setiap pelatih untuk menggalakkan mereka menyertai program ini yang akan diberikan menerusi tiga peringkat iaitu RM500 penempatan pekerjaan, RM500 capaian kekal sembilan bulan serta RM500 apabila pelatih disijilkan.

Jelas Rafizi, kumpulan muda seawal 18 tahun boleh mula bekerja dan mempunyai prospek kerjaya teknikal dan mereka juga akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) selepas sembilan hingga 18 bulan bekerja.

Setakat ini, lebih 200 syarikat bersetuju menyertai program ini dengan sasaran 1,000 syarikat setiap tahun akan datang.

Permohonan untuk menyertai program AiI kini dibuka secara dalam talian untuk tempoh dua minggu.

Agensi-agensi peneraju program AiI ini adalah Kementerian Ekonomi, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Loading...
Terkini