comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

LHDN optimis capai sasaran kutipan cukai RM176.14 bilion

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi ketika ditemui di Majlis Hari Raya Aidilfitri LHDN di Cyberjaya.

Oleh Juliana Pija Ismail

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) optimis untuk mencapai sasaran kutipan cukai berjumlah RM176.14 bilion tahun ini yang ditetapkan di bawah Belanjawan 2023.

Ia berikutan kutipan harian yang memberangsangkan mencecah lebih 20 peratus setakat ini berbanding tahun lalu.

“Kami yakin dapat mencapai sasaran yang diumumkan dalam Bajet 2023 dan berharap dapat melepasinya jika boleh,” kata  Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi  ketika ditemui di Majlis Hari Raya Aidilfitri LHDN di Cyberjaya.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim.

Dalam pada itu, pendekatan A.E.S (Awareness, Education dan Services) yang diperkenal LHDN akan diperkemas bagi meningkatkan kepercayaan rakyat kepada sistem percukaian negara.

LHDN yakin dengan memberikan perkhidmatan selaku ‘penasihat percukaian’ yang terbaik kepada rakyat, kadar pematuhan cukai akan meningkat seterusnya memberikan impak yang positif kepada hasil negara.

“Sekiranya pendapatan negara daripada sumber cukai langsung terus meningkat, kerajaan mampu untuk memulangkan manfaatnya kepada rakyat.Sudah pasti, pelbagai agenda bermanfaat untuk rakyat akan dapat direalisasikan. Taraf kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat akan dapat turut diperhebat melalui pelbagai projek pembangunan hasil daripada sumber pendapatan negara yang mencukupi” “katanya.

Tahun lalu LHDN mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah dengan kutipan cukai mencecah RM175 bilion, peningkatan sebanyak 21.75 peratus berbanding kutipan pada 2021.

Loading...
Terkini