comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

LZS akan kukuhkan sistem agihan zakat kepada asnaf, selari sistem gaji progresif

(tengah) Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, (dua dari kanan) Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini, (kanan) Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Datuk Abdul Rahman pada sidang media Penilaian Prestasi LZS 2022, di sini hari ini.

Oleh Afrina Romzi

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mengukuhkan sistem agihan zakatnya kepada kumpulan asnaf, selari dengan hasrat kerajaan untuk beralih kepada sistem gaji progresif.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Datuk Abdul Rahman Abdullah, berkata ia bagi memastikan bantuan yang dihulurkan kepada golongan asnaf membolehkan mereka menjalani kehidupan yang selesa.

“Mudah-mudahan dengan penglibatan yang lebih baik, pemahaman dan sokongan daripada seluruh masyarakat, kita akan dapat mengumpul (zakat), dan mengagihkan untuk mereka yang memerlukan terutamanya untuk kumpulan miskin. Kami juga memberi tumpuan kepada aspek pembangunan. Bukan sahaja untuk hidup, tetapi berkembang maju melebihi apa yang mereka lakukan,” katanya pada sidang media Penilaian Prestasi LZS 2022, di sini hari ini.

Tambah beliau, LZS akan bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk membantu kumpulan yang memerlukan dan akan menambah baik penilaian penerima bantuan, berbanding mengikut klasifikasi seperti B40 dan M40. Ini dengan meneliti faktor-faktor lain dan bukan faktor pendapatan semata-mata.

Justeru, badan itu menyokong idea kerajaan yang lebih peka terhadap keadaan ekonomi sebenar termasuk inflasi dan kos sara hidup yang tinggi.

Dalam pada itu, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, memaklumkan LZS meningkatkan kadar Had Kifayah kepada RM2,990, daripada RM2,734 bermula Julai.

“Ini bertujuan untuk membantu lebih ramai asnaf yang berkelayakan dan memastikan mereka menerima manfaat zakat sepenuhnya,” katanya.

LZS mencatatkan pengagihan zakat sebanyak RM1.05 bilion tahun lalu, naik 13.8% berbanding tahun sebelumnya.

“Ia adalah tertinggi dalam sejarah penubuhannya dan telah memanfaatkan 350,000 individu asnaf menerusi program pembangunan sosial, pendidikan, institusi agama, insan dan ekonomi serta bantuan khas melalui Zakat Selangor Peduli,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Manakala kutipan zakat merekod RM1.07 bilion dengan peningkatan sebanyak 7.5 peratus. Pertumbuhan ketara ini susulan penggunaan saluran pembayaran digital yang membolehkan pembayaran zakat dilakukan dengan lebih mudah menggunakan kad debit atau kredit dengan peningkatan sebanyak 170 peratus.

Loading...
Terkini