comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

LZS institusi zakat pertama catat prestasi agihan RM1.05 bilion

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) komited menerajui perubahan dalam industri zakat negara selepas muncul selaku institusi zakat pertama mencatatkan prestasi agihan berjumlah RM1.05 bilion, tertinggi sejak penubuhannya pada 1994.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata pencapaian bersejarah yang direkodkan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 itu dicapai hasil keras dan profesionalisme semua pihak termasuk rakan strategik LZS dalam urusan perkhidmatan kutipan dan agihan.

“Tahun ini genap 30 tahun LZS beroperasi dan semestinya bukan satu perjalanan yang mudah kerana sepanjang tempoh itu, pelbagai cabaran dan rintangan telah ditempuh termasuk persepsi negatif masyarakat mengenai pengurusan wang zakat.

“Tetapi ia bukanlah penghalang bagi kami untuk terus komited saban tahun dalam merealisasikan agenda LZS menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam di negeri ini serta menyantuni asnaf di Selangor,” katanya ketika berucap pada Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor (GRASIAZ) 2024 di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail.

Mohd Sabirin berkata, pentadbiran yang profesional juga menyaksikan LZS berjaya meningkatkan kutipan zakat daripada RM15.9 juta pada 1994 kepada RM1.07 billion pada 2022, iaitu bersamaan 17.7 peratus peningkatan tahunan.

Beliau berkata, kejayaan dan keupayaan untuk menguruskan zakat selama 30 tahun itu didukung oleh kepercayaan semua pengeluar zakat kepada LZS termasuk peranan yang dimainkan oleh rakan strategik LZS dalam kalangan ejen dan majikan yang membantu dalam urusan perkhidmatan kutipan dan agihan zakat.

“Kini, kewujudan LZS tidak lagi sekadar menyediakan pelbagai saluran untuk kemudahan menunaikan dan pengagihan zakat, bahkan pelbagai pendekatan telah digunakan agar kita semua dapat memahami ibadah zakat secara komprehensif.

“Dengan peranan zakat yang kini dilihat sebagai satu agenda ummah, LZS amat komited untuk menerajui perubahan dalam industri zakat di Malaysia, khususnya di Selangor melalui penyediaan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini