comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MAB Engineering Services kini entiti milik penuh MAG

MAB Engineering Services (MABES)

KUALA LUMPUR: MAB Engineering Services (MABES) menjadi entiti milik penuh Malaysia Aviation Group (MAG) berkuat kuasa 1 Mei 2023.

MAG dalam kenyataan hari ini berkata, MABES diletakkan di bawah bidang kuasa pusat keuntungan Perkhidmatan Penerbangan yang bertanggungjawab untuk menyelia kargo, pengendalian dan penyelenggaraan di lapangan, operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta akademi latihan untuk kumpulan.

Portfolio itu akan diuruskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Penerbangan Mohd Nadziruddin Mohd Basri dan disokong oleh Ketua Pegawai Operasi MABES Eke Nazri Rahim.

“Sebagai sebahagian daripada pelan operasi MRO, kami telah merangka inisiatif strategik yang telah membuahkan hasil positif bagi prestasi hasil MRO dan asas pelanggan, membolehkan MABES mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian MRO sehenti di rantau ini.

“Dengan kapasiti, keupayaan dan perkhidmatan baharu, penyusunan semula MABES akan membolehkan kami untuk bersaing dengan berkesan di pasaran MRO pihak ketiga dan meneraju pertumbuhan perniagaan MRO di Malaysia,” kata Pengarah Urusan kumpulan MAG Kapten Izham Ismail.

Beliau berkata MABES kekal komited untuk terus menyediakan perkhidmatan MRO yang luar biasa kepada pelanggan globalnya, di samping memperluas tawaran untuk memenuhi keperluan industri penerbangan yang berkembang, seiring dengan Pelan Perniagaan Jangka Panjang (LTBP) 2.0 MAG.

Selain menyediakan penyelenggaraan pesawat kepada kumpulan pesawatnya yang terdiri daripada pesawat Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan AMAL, MABES turut menerima kepercayaan daripada pelanggan antarabangsa iaitu syarikat penerbangan dan pemberi pajak pesawat.

Menurut MAG, pada masa ini MABES mengendalikan 11 barisan pengeluaran di tiga hangar iaitu Hangar 1 di Lapangan Terbang Subang bagi penyelenggaraan ATR dan Hangar 5 dan 6 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk pesawat berbadan lebar dan sempit.

MABES juga sedang giat memburu peluang untuk meluaskan barisan pengeluarannya dalam tempoh dua tahun akan datang dan ketika ini mempunyai 21 pensijilan kawal selia antaranya meliputi Malaysia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Sebelum ini, MABES beroperasi sebagai anak syarikat di bawah Malaysia Airlines Bhd.

Loading...
Terkini