comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MAG jalin kerjasama dengan Chooose dari Norway bangunkan penyelesaian perisian iklim

Malaysia Aviation Group (MAG).

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG), firma induk bagi syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines, bekerjasama dengan syarikat teknologi iklim yang berpangkalan di Norway, Chooose, untuk membangunkan penyelesaian perisian iklim.

Menurut MAG langkah itu adalah untuk menyokong komitmennya dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan pelan tindakan kemampanan kumpulan.

Ketua Pegawai Kemampanan Kumpulan, Philip See berkata MAG menyedari kepentingan peranannya dalam mewujudkan masa depan yang mampan untuk industri penerbangan.

“Kami komited bukan sahaja untuk mengurangkan jejak karbon kami malah juga bagi penyertaan aktif berterusan pelanggan kami supaya menjadi sebahagian daripada usaha penting ini, ke arah merealisasikan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

MAG menjelaskan menerusi penyematan penyelesaian yang dikuasakan Chooose secara terus ke dalam aliran tempahan pelanggan, pihaknya dapat menunjukkan ketelusan dari segi pelepasan karbon bagi setiap perjalanan.

Usaha ini juga dapat mendidik pelanggan mengenai impak karbon mereka dengan pengiraan tepat mengikut piawaian industri terkini, tambahnya.

Kemudian, pelanggan boleh memilih untuk menangani pelepasan karbon bagi penerbangan mereka dan menyokong projek karbon berkualiti tinggi dengan membeli pengimbangan karbon yang disahkan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menurut MAG.

“Susulan transaksi itu, Chooose akan memberikan sijil yang mengesahkan pembelian pengimbangan iklim oleh pelanggan,” tambahnya.

Kumpulan syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan perkongsian tersebut akan berkembang untuk meliputi pembelian bahan api penerbangan mampan. – BERNAMA

Loading...
Terkini