comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Majoriti firma Amerika Syarikat dijangka kaji semula pelaburan di Malaysia

Oleh Raza Syazani Muhammad

KUALA LUMPUR: Majoriti firma perniagaan dari Amerika Syarikat yang membuat pelaburan di Malaysia dijangka mengkaji semula nilai pelaburan mereka susulan menghadapi kerugian bernilai ratusan juta ringgit.

Ia gara-gara pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang merencatkan operasi perniagaan mereka.

Dalam satu kenyataan Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) berkata, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, 82 peratus syarikat melaporkan kerugian yang besar dengan satu pertiganya menghadapi 10 juta ringgit kerugian setiap minggu ketika sekatan terhadap aktiviti perniagaan dilaksanakan.

“Kaji selidik yang dijalankan antara 17 hingga 24 April lalu, juga menunjukkan sejumlah besar responden iaitu 16 peratus kebanyakannya syarikat multinasional dilaporkan rugi lebih RM500 juta sejak PKP dikuatkuasa pada 18 Mac lalu.

Sebagai jalan penyelesaian jangka pendek mengurangkan impak pandemik itu, majoriti responden telah mempertimbangkan langkah-langkah penjimatan kos dan pelarasan bagi strategi perniagaan jangka panjang mereka, sambil merancang prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja sepanjang krisis,” katanya.

Walau bagaimanapun, hampir kesemua syarikat berjaya mengelak daripada menghentikan pekerja atau melaksanakan cuti tanpa gaji secara mandatori.

Susulan rata-rata syarikat bertaraf global sedang menilai kembali pelan pelaburan mereka sebagai tindak balas terhadap wabak berkenaan, sesetengah responden kini menjangka akan mengurangkan pelaburan mereka ke Malaysia pada tahun ini.

Banyak juga yang mengambil langkah menilai kembali strategi rangkaian bekalan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Selain melihat kepada penyesuaian seperti pergerakan garis sumber atau peralihan operasi pengujian dan pemasangan.

Memandangkan sebilangan besar syarikat bekerja rapat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, perubahan itu akan turut mengakibatkan kerugian buat mereka.

AMCHAM turut menekankan perlunya kejelasan mengenai dasar semasa supaya kegiatan perniagaan di pelbagai sektor dapat dihidupkan kembali secepat mungkin tanpa mengabaikan keselamatan.

Loading...
Terkini