comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia Airlines bakal terima tiga pesawat A330NEO tahun ini

TOULOUSE: Malaysia Airlines akan menerima penghantaran tiga A330neo tahun ini, dengan yang pertama dijangka tiba pada suku ketiga tahun ini.

Ia sekali gus mengukuhkan penawaran produk utamanya serta prospek pertumbuhan masa depan dengan kumpulan pesawat berbadan lebar baharu dan susun atur kabin premium serba baharu.

Syarikat penerbangan itu akan menggunakan pesawat A330neo bagi rangkaian laluannya meliputi rantau Asia, Oceania dan Timur Tengah, dengan penerbangan sulung dijadualkan ke Melbourne, Australia.

“Kami tidak sabar-sabar untuk menerima A330neo pertama bagi kumpulan pesawat kami, yang menandakan peristiwa penting dalam strategi pemodenan kami,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail.

MAG, syarikat induk Malaysia Airlines, memilih 20 pesawat A330neo bagi inisiatif pembaharuan pesawat berbadan lebarnya pada 2022.

A330neo yang dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 7000 generasi terkini, akan menyertai kumpulan pesawat A350 dan secara beransur-ansur menggantikan 21 pesawat A330ceo.

Penambahan ini bukan sahaja akan mengukuhkan penawaran produk utama Malaysia Airlines tetapi juga meningkatkan keupayaannya bagi pertumbuhan masa depan, sejajar dengan matlamat syarikat untuk mengembangkan kumpulan pesawat berbadan lebarnya kepada 50 menjelang 2033, katanya.

“Dengan menetapkan standard baharu dalam keselesaan kabin dan pengalaman pelanggan, kami mengukuhkan semula kedudukan kami sebagai syarikat penerbangan premium dan komitmen tidak berbelah bahagi kami untuk terus melaksanakan penambahbaikan, inovasi dan mengutamakan pelanggan, yang semuanya berakar umbi daripada ‘Hospitaliti Malaysia’ kami.

“Fokus strategik ini amat penting ketika kami memulakan usaha kami untuk menempatkan Malaysia Airlines dalam kalangan 10 syarikat penerbangan utama global dan lima yang teratas dalam kalangan syarikat penerbangan di Asia Pasifik menjelang 2030,” kata Izham, yang kenyataannya dikeluarkan kepada media yang menyaksikan peringkat pemasangan terakhir A330neo pertama syarikat penerbangan itu di sini.

Menjelang 2033, MAG optimis dapat mengendalikan kumpulan pesawat terdiri daripada 50 pesawat berbadan sempit dan 50 pesawat berbadan lebar.

Komponen A330neo dibekalkan dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Pada Rabu, Malaysia Airlines mengeluarkan gambar sekilas A330neo pertama dari Toulouse yang menunjukkan bahagian ekornya sudah dicat dengan logo ikonik “wau” (layang-layang) syarikat penerbangan itu.

Seperti semua pesawat Airbus, proses pengeluaran bermula di beberapa lokasi di sekitar Eropah, yang mengeluarkan bahagian pesawat utama. Ini termasuk bahagian fiuslaj hadapan, tengah dan belakang, serta sayap dan ekor kapal terbang, kata Airbus dalam satu kenyataan.

“Bahagian-bahagian ini menyepadukan komponen daripada pembekal di seluruh dunia, termasuk Malaysia, sebelum dihantar ke barisan pemasangan terakhir Airbus di Toulouse untuk pemasangan terakhir,” katanya.

Airbus berkata komponen A330neo buatan Malaysia termasuk peralatan avionik seperti alat paparan dan komunikasi, bahagian struktur logam dan struktur penutup bahagian enjin atau kowling.

“Selepas bahagian fiuslaj utama, sayap dan ekor siap dipasang, fasa seterusnya melibatkan pemasangan kokpit, enjin, gear pendaratan, pendawaian elektrik, avionik, bahan api dan sistem hidraulik

“Pesawat kemudiannya akan menjalani pemeriksaan darat yang teliti sebelum pemasangan bahagian dalam kabin. Ini akan diikuti dengan persiapan untuk penerbangan pertama dan proses penghantaran,” kata syarikat aeroangkasa multinasional terkemuka Eropah itu.

Pesawat A330-900 Malaysia Airlines akan mempamerkan susun atur kabin premium yang serba baharu berdasarkan reka bentuk Airspace daripada Airbus.

“Tersedia dalam dua kelas, pesawat itu dapat menampung 28 penumpang dalam Kelas Perniagaan dan 269 dalam Kelas Ekonomi.

“Kelas Perniagaan akan menampilkan suite individu, dilengkapi katil rata penuh Collins Aerospace Elevation dengan pintu privasi, pod pengecas tanpa wayar, penyelesaian sistem hiburan dalam penerbangan (IFE) yang bersepadu serta ciri-ciri lain bagi mempertingkat keselesaan dan kemudahan dalam kabin,” kata Airbus.

Ini menyaksikan kemunculan terbaharu produk Collins yang popular dalam pesawat A330, katanya.

“Dalam Kelas Ekonomi, Malaysia Airlines bakal menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia Tenggara memperkenalkan tempat duduk Recaro CL3810, dilengkapi dengan kemudahan seperti cangkuk kot, pemegang cawan dan ruang simpanan yang luas.

“Sarung tempat duduk di seluruh kabin akan menampilkan motif songket tersendiri syarikat penerbangan, memberi penghormatan tinggi pada kekayaan warisan budaya Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini