comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia Airlines gantung laluan KL-Brisbane

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd melaksanakan langkah rasionalisasi destinasi penerbangannya sebagai salah satu langkah memulihkan semula operasi dan pendapatan syarikat penerbangan nasional itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail, berkata langkah segera itu akan dilaksanakan bermula suku pertama 2023 dengan menggantung laluan daripada Kuala Lumpur ke Brisbane berkuat kuasa 27 Mac 2023.

Beliau berkata, operasi pada penerbangan tanpa henti antara Kuala Lumpur ke empat lagi destinasi Australia sedia ada iaitu Adelaide, Sydney, Perth dan Melbourne akan diteruskan tanpa perubahan.

“Selepas semakan perniagaan yang menyeluruh, kami telah membuat keputusan yang sukar untuk menggantung operasi kami ke Brisbane bagi memastikan dapat beroperasi dan menggunakan angkatan pesawat pada tahap optimum.
Ini juga dapat memaksimumkan hasil pada setiap laluan yang kami lalui, disamping berhadapan dengan lonjakan berterusan dalam kos bahan api, tukaran wang asing dan kadar faedah.

“Penerbangan terakhir pada laluan ini akan berlepas dari Brisbane ke Kuala Lumpur pada 26 Mac 2023 melalui MH134,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Izham berkata, pelanggan yang melancong ke Brisbane boleh memanfaatkan perkongsian kod Malaysia Airlines dan rakan kongsi ‘Oneworld’, Qantas dan bersambung dari Sydney dan Melbourne ke Brisbane selepas penggantungan penerbangan terus itu.

Beliau berkata, tempahan ke bandar-bandar Australia yang lain adalah sangat menggalakkan dengan permintaan yang kukuh sehingga dan melepasi suku pertama 2023, melebihi jumlah yang direkodkan pada pada 2019.

Katanya, Malaysia Airlines akan kekal fokus untuk meningkatkan rangkaian bagi mencapai pemulihan sepenuhnya menjelang 2024.

“Sehingga kini, kami telah menggunakan kapasiti pada 76 peratus dan menjangkakan menamatkan tahun dengan kapasiti 82 peratus daripada tahap prapandemik di seluruh rangkaian.

“Namun, Australia telah pulih lebih cepat dan tidak termasuk penggantungan Brisbane, rangkaian Australia kami akan berada pada kapasiti 98 peratus tahap prapandemik menjelang Mac 2023,” katanya.

Mengulas lanjut, Izham berkata, pada tahun ini Malaysia Airlines telah menambah destinasi baharu dari Kuala Lumpur ke Doha, Haneda dan Yogyakarta serta dari Kota Kinabalu ke Singapura. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini