comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia Airlines kembalikan khidmat hidangan makanan pada 15 November

SEPANG: Malaysia Aviation Group (MAG) yakin dapat memulihkan sepenuhnya perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) dalam penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) pada 15 November 2023 dengan menyediakan F&B lebih baik kepada penumpang.

Pengarah Urusan MAG Datuk Kapten Izham Ismail berkata pemulihan kepada keadaan normal berada pada tahap 97 peratus ketika ini dan ia adalah perjalanan sukar sejak syarikat penerbangan itu menamatkan kontraknya dengan Brahim’s Food Services Sdn Bhd (BFS) pada 31 Ogos 2023.

“Apabila menjalankan perniagaan, anda perlu memberi tumpuan kepada objektif dan walaupun katering bukan perniagaan teras kami, pengalaman pelanggan merupakan perniagaan teras MAG.

“Justeru, MAG perlu mencari kaedah untuk menetapkan semula produk kami dan ia perlu menghadapi jalan berliku yang sangat mencabar,” katanya semasa sesi ‘Airline Leader Interview – MAG’ pada Sidang Kemuncak Centre for Aviation (Capa) Asia Aviation and Anugerah Kemampanan 2023 di sini hari ini.

Izham memberi jaminan kepada penumpang mengenai komitmen MAB untuk menyelesaikan isu makanan dalam penerbangan serta merancang untuk melancarkan menu ASEAN memandangkan syarikat penerbangan itu menyediakan perkhidmatan kepada penumpang dari seluruh dunia.

“Aspirasi kami adalah untuk menjadi syarikat penerbangan premium mesra Asia. Justeru, kita perlu menggambarkan keindahan ASEAN dan Asia dengan menyediakan pelbagai menu,” katanya.

Izham berkata MAB kini mempunyai lapan khidmat katering yang membekalkan makanan dalam penerbangan.

Imbas kembali, kontrak katering yang telah lama terjalin antara MAB dan BFS berakhir pada 31 Ogos 2023 selepas rundingan dalam tempoh yang lama antara kedua-dua pihak sejak suku keempat 2022 tidak memberi sebarang hasil positif.

Loading...
Terkini