comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia akan terima lebih banyak pelaburan industri aeroangkasa

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus menarik lebih banyak pelaburan dalam industri aeroangkasa, sekali gus menjadikannya sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia juga seiring dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai pembekal utama untuk kompeten tenaga kerja industri aeroangkasa di Asia Tenggara.

Beliau berkata, pelan itu juga mengunjurkan industri aeroangkasa akan dapat mencapai hasil tahunan sebanyak RM55.2 bilion dan mewujudkan 32,000 pekerjaan menjelang 2030.

Selain itu, katanya Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) akan turut memberikan dorongan selanjutnya kepada Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa.

“Ia akan memastikan terdapat sokongan fiskal dan pembiayaan yang mencukupi untuk mewujudkan ekosistem yang lebih kukuh, menyokong pembuatan produk aeroangkasa yang lebih kompleks dan seterusnya meletakkan Malaysia sebagai hab perkhidmatan serantau untukindustri aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan ‘3D Visualisation and Virtual Augmented Mixed Reality (VAMR) Lab’ Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Malaysia (Pusat MyAERO) Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO Malaysia) di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC ASIA) 2024 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, pada 2023, Malaysia merekodkan jumlah perdagangan aeroangkasa sebanyak RM23.2 bilion, dengan eksport bernilai RM6 bilion dan pendapatan diraih sebanyak RM18.1 bilion.

Beliau berkata, eksport teratas dalam aeroangkasa termasuk bahagian pesawat, helikopter dan kapal terbang, dengan lima destinasi eksport teratas negara adalah Amerika Syarikat (AS), China, Indonesia, Singapura serta United Kingdom (UK).

Katanya, Malaysia juga menjadi pembekal kritikal dalam bahagian aeroangkasa global dan rantaian bekalan komponen dengan hampir 29,000 tenaga kerja mahir dan lebih daripada 250 syarikat yang aktif dalam ekosistem industri aeroangkasa tempatan.

“Kita juga boleh berbangga dengan hakikat yang Malaysia menarik lebih banyak pelaburan daripada pemain aeroangkasa global dalam dua tahun yang lalu.

“Saya dan pasukan di MITI terbabit dalam memimpin beberapa rundingan dengan prospek baharu untuk industri aeroangkasa seperti potensi pelaburan bernilai RM46 bilion daripada Airbus, Institut de Soudure Groupe (ISG) dan Simaero. Semua ini mencerminkan kepercayaan peserta aeroangkasa global terhadap Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini