comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia Autoshow 2023 sasar jana RM300juta transaksi perniagaan

KUALA LUMPUR:Malaysia Autoshow 2023 sasar jana RM300 juta transaksi perniagaan menerusi pameran autonya kali ini.

Menurut Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Phang Ah Tong, acara empat hari itu dijangka menarik 200,000 pengunjung.

“Acara ini akan menampilkan 300 peserta pameran, yang mana orang ramai akan berpeluang melihat teknologi dan perkembangan terkini dalam industri automobil.

“Daripada kenderaan elektrik dan berautonomi kepada kemajuan dalam keselamatan dan kecekapan, industri automobil sedang menghasilkan kenderaan yang bukan sahaja lebih baik untuk alam sekitar, tetapi juga lebih selamat dan menyeronokkan untuk dipandu,” katanya pada pelancaran rasmi Malaysia Autoshow 2023 di ibu pejabat MARii di Cyberjaya, hari ini.

Malaysia Autoshow 2023 ini akan diadakan pada 4-7 Mei 2023 di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS).

Pada tahun ini, pameran automotif itu akan menampilkan tarikan tambahan, seperti Pameran Motosikal Malaysia dan Pameran Kenderaan Elektrik (EV) Malaysia serta Pengecasan, yang memfokuskan pada teknologi pengecasan kenderaan, aksesori, alat ganti dan aplikasi digital yang membentuk ekosistem EV.

Pengunjung akan dapat melihat dengan dekat lebih daripada 100 model dan varian kenderaan cekap tenaga, motosikal dan EV yang dipamerkan, dan mengambil peluang untuk memandu uji beberapa kenderaan di dua laluan pandu uji sepanjang 4.5 kilometer, kata MARii .

Acara ini juga turut menawarkan aktiviti yang menyeronokkan untuk seisi keluarga, termasuk konsert yang menampilkan artis-artis terkenal, tarian antarabangsa, aktiviti cosplay dan banyak lagi.

“Pengunjung akan berpeluang memenangi Perodua Alza dalam peraduan untuk pengunjung Malaysia Autoshow 2023, serta memanfaatkan pakej dan tawaran istimewa serta pakej kewangan khas melalui rakan bank yang ada di pameran itu,” katanya.

Yuran kemasukan ialah RM15 untuk dewasa dan percuma bagi kanak-kanak di bawah 10 tahun serta warga emas. Maklumat lanjut boleh didapati di https://autoshow.my.

BERNAMA

Loading...
Terkini