comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia berhasrat perkenal “diplomasi orang utan” kepada negara dagang minyak sawit

(Tengah) Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Forum Biodiversiti 2024 anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia hari ini. FOTO: MPOGCF / Facebook

Oleh: Afrina Romzi

GENTING HIGHLANDS: Malaysia berhasrat untuk memperkenalkan program “diplomasi orang utan”, terutama di negara pengimport utama seperti Kesatuan Eropah, India dan China.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ini bertujuan membuktikan kepada masyarakat dunia mengenai komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan biodiversiti.

“Kalau dulu kita selalu tengok diplomasi panda China, sekarang kita ada diplomasi orang utan. Jadi kita boleh bagi (orang utan) kepada negara yang berdagang dengan kita khusunya untuk kelapa sawit.

“Kita juga mahu buktikan kepada masyarakat dunia bahawa kita bukan negara yang menghapuskan orang utan. Haiwan ini sangat berharga yang kita perlu menjaga,” beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Forum Biodiversiti 2024 anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) hari ini.

Justeru, Datuk Seri Johari menyeru syarikat besar sawit untuk menyertai dan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk menjaga, membiak dan memberi satu atau sepasang orang utan dewasa kepada rakan global, di samping menyediakan kepakaran teknikal dan kesedaran terhadap haiwan itu.

“Memandangkan lebih banyak rakan dagangan semakin bimbang tentang kesan komoditi pertanian terhadap iklim, Malaysia mesti membuktikan kepada masyarakat global bahawa kita mampu mencapai keseimbangan antara memenuhi keperluan keselamatan makanan sambil menjaga alam sekitar,” jelas beliau.

Industri minyak sawit menyumbang tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan nilai eksport mencecah RM102 bilion dan RM18 bilion dalam hasil cukai.

Industri ini menyediakan sumber pendapatan kepada satu juta orang termasuk 450,000 pekebun kecil. Secara keseluruhan, sekitar empat juta individu bergantung kepada industri minyak sawit secara langsung dan tidak langsung.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini