Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mencapai sekitar 43 peratus berdasarkan 248 indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), mendahului pencapaian dunia pada 17 peratus setakat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, negara perlu terus meningkatkan lagi keupayaan untuk mencapai prestasi lebih baik.
“Bagi saya (pencapaian SDG) itu sebagai penanda aras kita walaupun kita bangga dengan pencapaian 43 peratus ketimbang 17 peratus yang dicapai secara purata itu sudah satu tahap yang menggalakkan,” katanya pada Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 hari ini.
Datuk Seri Anwar menegaskan orang ramai juga perlu menilai sama ada pencapaian itu hanya untuk kepentingan dasar ekonomi atau sesuatu yang sangat kritikal untuk kelangsungan hidup.
“Ini kerana kadang kala kritikal untuk negara menilai kejayaan mahupun kegagalan.
“Kita perlu tanya diri sendiri sama ada pencapaian kemampanan ini adalah hanya kepentingan dasar ekonomi, atau ia adalah sesuatu yang sangat kritikal untuk kelangsungan hidup manusia. Jika begitu, maka kriteria yang dikenakan hanyalah garis panduan dan kejayaan Malaysia berbanding negara lain hanyalah kejayaan relatif.
“Saya percaya ia adalah tuntutan getir, maka kita harus melakukan apa sahaja yang perlu, sebaik mungkin untuk memastikan kita mencapai matlamat (kemampanan) ini dengan cara yang lebih hebat,” tambahnya.
Untuk itu jelasnya, Malaysia perlu pantas dalam menangani isu kemampanan seperti yang digariskan dalam SDG dan Ekonomi Madani demi kepentingan negara dan kelangsungan kehidupan rakyat.
“Jadi kita harus tekankan selain daripada matlamat SDG, (terdapat) juga kerangka Ekonomi Madani untuk menanam semangat dan kekuatan dalam laksanakan perubahan selari dengan tuntutan semasa,” jelas beliau.
Katanya, komitmen kerajaan dalam Ekonomi MADANI memberi fokus utama pada isu nilai kemanusiaan, belas ihsan, melangkaui tonggak utama SDG yang menumpukan kepada kepentingan ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.