Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia-China perkukuh kerjasama industri sawit, potensi pelaburan

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. – FOTO: NSTP

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Malaysia dan China memiliki potensi besar untuk memperkukuh kerjasama dalam industri sawit, sekaligus membuka peluang pelaburan yang lebih luas.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerjasama strategik dapat dimanfaat bersama di mana Malaysia sebagai pengeluar utama minyak sawit manakala China yang mempunyai rangkaian pasaran luas.

“Melangkah ke hadapan, terdapat banyak lagi ruang yang boleh diterokai oleh kedua-dua negara untuk memanfaatkan peluang dalam sektor ini.

“Dengan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam ekonomi global serta risiko geopolitik yang bertambah, saya percaya Malaysia dapat terus menjadi rakan dagang utama dalam sektor minyak sawit.

“Industri kita yang telah lama bertapak dan dikawal selia dengan baik mampu menyediakan jaminan bekalan, infrastruktur yang cemerlang sepanjang rantaian bekalan, serta jaminan kelestarian melalui skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Malaysia-China hari ini.

Tambah beliau, Malaysia amat mengalu-alukan pelabur berpotensi untuk menerokai industri sawit menerusi tiga bidang penting.

“Pertama, kami ingin memanfaatkan konsep ekonomi kitaran dalam industri minyak sawit. Secara khususnya, sisa buangan boleh ditukar menjadi tenaga hijau dalam bentuk tenaga biojisim dan biogas.

“Tenaga biojisim boleh dihasilkan dengan membakar produk sampingan seperti serabut mesokarp, tempurung isirung sawit, dan tandan kosong. Haba yang dihasilkan akan menggerakkan turbin dan menghasilkan elektrik,” katanya.

Beliau menambah, bahan api penerbangan mampan (SAF) juga merupakan bidang yang menawarkan potensi besar.

“Menjelang 2027, Malaysia mensasarkan untuk mewajibkan penggunaan SAF bagi semua pesawat ke Malaysia, dengan mandat pencampuran bermula pada kadar satu peratus,” katanya.

Kedua, Malaysia meneroka teknologi baharu dalam pelaksanaan pertanian pintar seperti pertanian berteknologi tinggi, pembuatan keputusan berasaskan data, serta peningkatan mekanisasi dan automasi sepanjang rantaian bekalan.

“Ketiga, Malaysia mahu menarik pelaburan untuk menaik taraf kilang sedia ada. Sehingga Jun 2024, terdapat sekitar 448 kilang minyak sawit di Malaysia, di mana kebanyakan kilang ini telah beroperasi sejak bertahun-tahun lamanya,” katanya.

Jelas beliau, pelabur berpotensi boleh bekerjasama dengan pemilik kilang untuk menaik taraf kilang-kilang ini dengan melengkapkannya dengan teknologi terkini.

Ini termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang boleh meningkatkan kecekapan operasi dengan mengurangkan kerugian minyak dan kebergantungan terhadap tenaga kerja.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini