comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia, China rai ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2024

KUALA LUMPUR: Tahun 2024 menandakan sambutan jubli emas bagi hubungan diplomatik Malaysia-China ikatan yang akan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Perdana Menteri China Li Qiang yang dijangka melawat Malaysia sempena meraikan sambutan tersebut.

Kedua-dua negara telah menjalin hubungan dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam infrastruktur dan teknologi kereta api, sektor automotif, pembuatan, perdagangan dan teknologi kewangan (fintech).

Antara projek yang paling penting adalah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia atau menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang melalui rangkaian rel meluas yang bakal membuka kawasan pertumbuhan dan pembangunan baharu.

Kerjasama lain termasuklah perkongsian strategik antara jenama kereta nasional pertama Malaysia, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd dari China, yang mana syarikat gergasi auto dari China itu membeli  49.9 peratus kepentingan dalam Proton daripada DRB-Hicom Bhd dengan harga RM460 juta pada Jun 2017 untuk memulihkan semula prestasi Proton.

Perkongsian itu berjaya membuahkan hasil apabila Proton mencapai pertumbuhan jualan tahun kelima berturut-turut pada 2023 dengan 154,611 unit terjual, prestasi paling kukuhnya sejak 2012.

Tiga daripada model SUV Proton – Proton X50, Proton X70 dan Proton X90 – kini menjadi model popular yang mencatatkan jualan lebih 200,000 unit sejak Disember 2018.

Ini jelas mencerminkan hubungan yang terjalin sejak 1974 itu telah berkembang menjadi semangat keakraban yang mendalam, hasil daripada wawasan Perdana Menteri ketika itu Tun Abdul Razak dan rakan sejawatannya dari China, Perdana Menteri Zhou Enlai, yang berkongsi usaha bersama untuk menambah baik negara masing-masing demi kebaikan bersama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini