comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia destinasi utama pelajar antarabangsa menjelang 2035

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi destinasi utama pilihan pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian menjelang 2035, demikian menurut data dikeluarkan gergasi hartanah, IQI yang juga ahli kepada Juwai IQI.

Ia berdasarkan trend saiz populasi pelajar global dan jumlah pelajar yang datang ke Malaysia untuk melanjutkan pengajian mereka.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI , Kashif Ansari, berkata dengan pandemik telah berlalu, pelajar institusi menengah dan pengajian tinggi semakin memilih Malaysia dengan data menunjukkan negara ini menjadi tuan rumah kepada kira-kira 125,000 pelajar antarabangsa.

Beliau berkata, kira-kira 70 peratus pelajar itu berada di institusi pengajian tinggi swasta, manakala selebihnya belajar di universiti awam dan sekolah menengah.

Katanya, daripada semua pelajar pengajian tinggi di Malaysia, hampir enam peratus pelajar antarabangsa adalah dari luar negara, menurut Kementerian Pengajian Tinggi.

“Malaysia sedang berusaha mencapai matlamat jangka panjang untuk membina pangkalan kemasukan pelajar asing kepada 250,000 pelajar menjelang 2025.

“Walaupun pada skala yang berbeza daripada negara yang lebih besar seperti Amerika Syarikat (AS), Malaysia menghampiri kedudukan teratas dalam kalangan destinasi pendidikan selama sekurang-kurangnya sedekad.

“Setakat 2015, Malaysia menduduki tempat kelapan di dunia untuk pelajar yang masuk,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pelajar antarabangsa di Malaysia memainkan peranan dalam pasaran hartanah kediaman, terutamanya pasaran sewaan di kawasan berhampiran universiti dan hab pendidikan.

“Pelajar antarabangsa meningkatkan permintaan sewaan di bandar-bandar yang mempunyai institusi pendidikan besar, terutamanya Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini