comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia dijangka catat pertumbuhan sederhana 3.9 peratus pada suku pertama 2023

FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia diunjur menyederhana kepada 3.9 peratus pada suku pertama 2023 (S1 2023) di tengah-tengah risiko kelembapan ekonomi global, kata Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata kelembapan ekonomi global serta jangkaan peningkatan inflasi dijangka menjejaskan prestasi eksport negara dan harga komoditi.

Ini, katanya, boleh membawa kepada langkah mengetatkan lagi kewangan menerusi kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh bank negara.

Bagi kali kelima berturut-turut, BNM dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada Januari ini.

“Bagaimanapun, kami melihat risiko pertumbuhan perlahan itu terhad memandangkan risiko politik yang rendah, susulan kejayaan pembentukan kerajaan perpaduan dan perbelanjaan swasta yang kukuh yang disokong oleh pelbagai sokongan dasar seperti penyambungan pemberian subsidi dan program pindahan tunai bagi kumpulan B40, serta impak positif daripada kelonggaran dasar sifar COVID-19 China.

“Selain itu, kedatangan pelancong yang mula meningkat akan terus menyokong pemulihan dalam subsektor pelancongan ditambah dengan keadaan pasaran buruh yang semakin bertambah baik, terutamanya dalam sektor perkhidmatan,” katanya.

Sehubungan itu Kenanga Research mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2023 pada 4.3 peratus susulan normalisasi dalam ekonomi domestik, ketika negara beralih beransur-ansur ke fasa pasca pandemik.

Ia juga berkata kerajaan dijangka meneruskan belanjawan pengembangan sederhana pada 2023, dengan hanya semakan kecil akan dibentangkan semula pada 24 Februari depan dan meneruskan pelbagai subsidi untuk melindungi rakyat daripada impak kenaikan kos hidup.

Pada masa depan, langkah-langkah kerajaan untuk mengurangkan kos hidup, ditambah dengan kekukuhan ringgit, permintaan global yang perlahan dan rantaian global yang bertambah baik susulan pembukaan semula sempadan China, mungkin akan membawa kepada inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing kepada purata 2.5 peratus dan 2.3 peratus pada 2023.

Sementara itu, ringgit dijangka lemah berbanding dolar AS sekitar 4.48 pada Suku Pertama 2023 berikutan peningkatan perbezaan dasar monetari BNM-Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

“Bagaimanapun, melangkah ke Separuh Kedua 2023, ringgit dijangka melantun semula dan mengukuh sekitar 4.11 pada penghujung 2023,” kata Kenanga Research.

Permintaan asing bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dijangka sederhana pada Separuh Pertama 2023 di tengah-tengah minat risiko global yang lemah sebelum kembali kukuh bermula Separuh Kedua 2023 dan seterusnya selepas kitaran langkah-langkah mengetatkan monetari oleh kebanyakan bank pusat utama dunia berakhir dan sentimen risiko global mula meningkat.

Firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran akhir 2023 bagi hasil MGS 10 tahun kepada 3.70 peratus daripada 3.80 peratus sebelumnya (2022: 4.07 peratus). — BERNAMA

Loading...
Terkini