comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia dijangka kenakan cukai minimum global tahun depan

 

Foto hiasan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

KUALA LUMPUR: Cukai Minimum Global, salah satu kaedah baharu yang dilaksanakan di seluruh dunia kepada syarikat multinasional (MNC) pada kadar minimum 15 peratus berkemungkinan akan dilaksanakan di Malaysia tahun depan.

Sehubungan itu, MNC di negara ini perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pelaksanaan reformasi sistem percukaian antarabangsa itu tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Percukaian Deloitte Malaysia, Tan Hooi Beng, berkata walaupun negara tertentu seperti Singapura, Hong Kong dan Thailand menangguhkan pelaksanaan ke 2025, namun negara lain termasuk Korea Selatan, United Kingdom, Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan Australia memilih 2024 sebagai tahun permulaan pelaksanaan GMT.

“Sambil menunggu pengumuman lebih teguh daripada kerajaan Malaysia, adalah lebih penting pembayar cukai bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pelaksanaan GMT termasuk pada tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan.

GMT dikatakan pembaharuan cukai terbesar dalam sejarah percukaian di mana MNC perlu membayar cukai minimum 15 peratus di setiap negara di mana ia beroperasi.

Pada asasnya, MNC bebas untuk beroperasi di bidang kuasa cukai tinggi atau rendah, destinasi perlindungan cukai dan negara yang menawarkan pengecualian cukai yang tinggi.

GMT terpakai kepada MNC yang beroperasi di sekurang-kurangnya dua bidang kuasa, dengan hasil kumpulan tahunan disatukan sekurang-kurangnya berjumlah 750 juta euro (RM3.7 bilion) dalam sekurang-kurangnya dua daripada empat tahun fiskal sebelum itu.

Malaysia secara dasarnya telah bersetuju untuk melaksanakan GMT sebanyak 15 peratus kepada sesetengah MNC.

Loading...
Terkini