comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia, Indonesia, Turkiye jadi penerbit Sukuk berdaulat terbesar pada 2023-2024 – MOODY’S

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia, Indonesia dan Turkiye akan menjadi penerbit berdaulat terbesar pada 2023-2024, mengatasi Arab Saudi yang menyumbang satu bahagian terbesar kepada terbitan sukuk berdaulat jangka panjang sejak enam tahun lepas, menurut Moody’s Investors Service.

Agensi penarafan itu juga mengunjurkan sumbangan terbesar datang dari Malaysia dan Indonesia, sebahagiannya menunjukkan keperluan pembiayaan semula sukuk yang lebih tinggi dan berterusan, walaupun defisit fiskal telah semakin baik secara sederhana.

“Defisit fiskal Malaysia dijangka berkurangan kepada kira-kira lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2023-2024, daripada enam peratus pada 2022, namun akan kekal cukup untuk menyokong terbitan sukuk berdaulat tahunan US$20 bilion hingga US$22 bilion (US$1=RM4.519) bagi kedua-dua tahun itu,” menurutnya dalam laporan pada Rabu.

Menurut Moody’s, tiada perubahan besar ke atas dasar fiskal dijangka dilakukan di bawah pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mungkin mengekalkan defisit fiskal yang lebar bagi 2024 untuk menyokong pemulihan ekonomi.

“Ini akan mengekalkan tahap terbitan sukuk kasar yang agak tinggi, dengan mengandaikan kira-kira separuh daripada pembiayaan kerajaan kasar akan dipenuhi melalui terbitan sukuk.” tambahnya.

Moody’s memaklumkan Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa inisiatif dalam Belanjawan 2023 yang kali pertama dibentangkannya pada 24 Feb, 2023 untuk menggalakkan lagi pertumbuhan dalam kewangan Islam.

“Antaranya adalah untuk memisahkan simpanan syariah daripada simpanan konvensional yang dilaburkan oleh dana pencen sektor swasta nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan demikian mereka menjana pulangan yang lebih kukuh untuk pemegang akaun syariah,” menurutnya.

KWSP ialah pemegang individu terbesar bagi hutang kerajaan Malaysia, jelas Moody’s.

Moody’s menjangkakan bagi 2023, penerbitan sukuk berdaulat jangka panjang akan stabil pada kira-kira US$80 bilion susulan kecairan global yang ketat dan masih menyokong, walaupun harga minyak mentah yang lebih rendah, sebelum meningkat kepada US$80 bilion hingga US$85 bilion pada 2024.

BERNAMA

Loading...
Terkini