comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia kini pasaran kereta kedua terbesar di Asia Tenggara

Foto hiasan


KUALA LUMPUR: Malaysia memintas Thailand sebagai pasaran kereta kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia.

Memetik laporan akhbar dalam talian Nikkei Asia, perubahan besar dalam kedudukan di rantau ini menjadi medan persaingan utama bagi pengeluar kereta.

Data yang dikeluarkan oleh kumpulan industri di ketiga-tiga negara teratas selain Filipina dan Vietnam mendapati, angka jualan Malaysia yang berada di kedudukan ketiga sejak sekian lama telah mengatasi Thailand untuk tiga suku berturut-turut bagi tempoh Januari hingga Mac 2024, demikian menurut agensi berita Vietnam, VNA.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah jualan suku pertama melonjak lima peratus kepada 202,245 unit.

VNA berkata, pengecualian cukai jualan untuk kenderaan keluaran domestik yang sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi kerajaan telah memberi manfaat kepada jenama kereta nasional seperti PERODUA dan PROTON yang menguasai kira-kira 60 peratus bahagian pasaran.

Sementara itu, angka jualan di Filipina meningkat 13 peratus pada suku pertama, tertinggi dalam kalangan lima negara, selepas inflasi berkurangan kepada sekitar 4.0 peratus pada akhir 2023 dan perbelanjaan pengguna kekal kukuh.

Jualan di Thailand pula sebaliknya mengalami kemerosotan selepas negara itu unggul di tempat kedua sehinggalah jualan merosot 25 peratus pada suku pertama berbanding tahun sebelumnya.

Jualan bulanan Thailand merosot tahun ke tahun sejak Jun lalu disebabkan peningkatan pinjaman kereta tidak berbayar dan penggunaan awam yang tidak stabil.

Indonesia juga mengalami kekurangan momentum apabila jualan pada suku pertama susut 24 peratus berbanding tahun sebelumnya selepas kadar faedah meningkat yang menyaksikan pengguna mempertimbangkan pembelian kenderaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini