comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia mahu jadi negara berpendapatan tinggi bersama ekonomi dinamik, rancak

KUALA LUMPUR: Malaysia mahu mencapai negara berpendapatan tinggi bukan saja dari segi jumlah pendapatan perkapita tahunan kepada AS$15,000, tetapi mempunyai ekonomi yang dinamik, rancak dan dipacu teknologi, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.

Beliau berkata, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kerangka dasar ekonomi yang jelas menerusi Ekonomi MADANI dalam menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat di negara ini.

Katanya, kerajaan mahu ekonomi negara dipacu teknologi dengan syarikat di negara ini memanfaatkan sepenuhnya pendigitalan, automasi, kecerdasan buatan (AS) dan inovasi untuk kekal berdaya saing dan menjadi pelopor kepada teknologi.

“Kita perlu melakukan lebih lagi bukan saja pelaburan, tetapi kita perlu pastikan ekonomi negara menggunakan teknologi dan berganjak kepada inovasi dan menjadi pencipta (teknologi),” katanya ketika ditemui di Syarahan Utama: Pertumbuhan Ekonomi di Negara Berpendapatan Pertengahan: Bagaimana Negara Boleh Keluar Daripada Perangkap Pendapatan Pertengahan? oleh Ketua Ekonomi Kumpulan Bank Dunia, Dr Indermit Gill di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rancangan kerajaan dalam membawa Malaysia keluar daripada perangkap negara berpendapatan pertengahan kepada negara berpendapatan tinggi.

Chin Tong mengakui kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) penting, tetapi negara juga perlu menyerap teknologi dan beralih kepada inovasi dengan mencipta teknologi.

Beliau berkata, inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan Malaysia akan memandu Malaysia ke arah pencipta teknologi.

Malah, katanya, dengan adanya kerangka dasar yang jelas juga akan memandu Malaysia menjadi peserta penting dalam semikonduktor global.

Katanya, dengan lebih banyak rekaan dan inovasi teknologi dihasilkan, negara mampu keluar daripada perangkap negara berpendapatan pertengahan bukan saja dari segi jumlah jumlah pendapatan perkapita tahunan kepada AS$15,000 tetapi mempunyai ekonomi yang kukuh dan dipacu teknologi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini