comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia mampu kurangkan kebergantungan kepada dolar AS

KUALA LUMPUR: Dedolarisasi atau langkah mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai mata wang rizab, medium pertukaran atau unit akaun menjadi pilihan yang boleh dilaksanakan Malaysia.

Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology, Dr Geoffrey Williams, berkata langkah itu boleh dilaksanakan memandangkan hanya 11 peratus eksport dan lapan peratus import dengan AS, sekali gus menunjukkan sebahagian besar perdagangan Malaysia bukan dengan negara terbabit.

“Sebaliknya, hampir 30 peratus daripada eksport dan 23 peratus import Malaysia adalah dengan ASEAN dan masing-masing 15 peratus dan 23 peratus untuk eksport dan import adalah dengan China.

“Jadi, hampir 90 peratus atau lebih dagangan bukan dengan AS dan ini bermakna dolar AS tidak diperlukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Williams berkata, selain perdagangan, semua eksport minyak Malaysia didagangkan dalam dolar AS dan banyak perjanjian pelaburan serta kewangan termasuk pembayaran balik hutang adalah dalam mata wang berkenaan.

“Namun, pendedahannya agak rendah kerana kebanyakan hutang kerajaan Malaysia adalah dalam ringgit dan dipegang oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata, dedolarisasi boleh dilaksanakan bergantung cara ia dikendalikan dan berdasarkan realiti ekonomi.

“Jika perdagangan boleh dikendalikan dengan lebih baik dalam yuan atau mata wang dua hala lain maka itu akan menjadi satu anjakan.

“Minyak, komoditi dan urus niaga kewangan buat masa ini masih dikuasai dolar AS. Jadi, itu tidak akan berubah dengan cepat,” katanya.

Williams berkata, kadar pertukaran dua hala dan perdagangan serantau lebih penting dan peralihan daripada dolar AS tidak akan memudaratkan terlalu banyak jika ia diselaraskan dengan negara Asia lain, terutama ASEAN dan China.

Loading...
Terkini